KUALA LUMPUR:Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan meneruskan pelaksanaan inisiatif dalaman serta perancangan rapi dan strategik pada tahun ini bagi mengurangkan kadar purata air tidak berhasil (NRW).

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, pelaksanaan inisiatif yang telah dilaksanakan sejak 2017 akan diteruskan dengan sasaran untuk mengurangkan kadar purata NRW sebanyak 0.5 peratus yang berjaya dicapai selama tiga tahun berturut turut sejak 2018.

Suhaimi berkata Air Selangor telah merangka lima petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dilaksanakan bagi memastikan penurunan kadar NRW dapat dicapai.

Beliau berkata, antaranya, penubuhan Pasukan Pakar Kebocoran dan Pemeriksa Kebocoran Air Selangor yang perlu mengesan sekurang-kurangnya 78,000 kes paip bocor pada saluran paip pengagihan dan menubuhkan sejumlah 75 zon pemeteran daerah.

“Selain itu, kami juga akan menukar paip lama dan usang terutamanya paip jenis asbestos simen sepanjang 150 kilometer menerusi Program Penggantian Paip Lama.

“Kami juga akan meneruskan pemasangan sensor pada paip-paip utama yang dianggarkan berjumlah 1,780 sensor untuk mengesan tekanan sementara dan kebocoran pada peringkat awal.

“3,000 Alat Pengesan Kebocoran Kekal juga akan digunakan pada paip retikulasi di 60 Zon Pemeteran Daerah,” katanya pada satu sidang media secara maya pada Rabu.

Sebelum ini, Suhaimi berkata Air Selangor berjaya menurunkan purata penurunan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 28.6 peratus tahun lepas berbanding 29.7 peratus pada 2019.

Pencapaian tersebut melebihi sasaran pada kadar 29.2 peratus yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) biarpun berdepan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata Air Selangor memperuntukkan RM293 juta tahun ini untuk mencapai penurunan kadar purata NRW pada tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, beliau berkata sebanyak RM170 juta diperuntukkan untuk Program Penggantian Paip Lama yang kritikal manakala RM16 juta pula untuk penukaran meter lama dan rosak.