KUALA LUMPUR: AirAsia melancarkan tambang rendah tetap untuk penerbangan lewat malam bagi menyatukan keluarga pada Tahun Baharu Cina ini dengan tambang berpatutan antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak. 

AirAsia berkata, orang ramai boleh 'terbang' ke kampung halaman pada musim perayaan ini dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu, atau Miri, dan Johor Bahru ke Kuching, Sibu atau Miri dengan tambang tetap RM298 sehala. 

Manakala, dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan atau Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu dengan tambang tetap RM348 sehala bermula 5 hingga 15 Februari 2024. 

"Selain 134 penerbangan tambahan lewat malam pada tambang rendah tetap ke tujuh destinasi popular di Sabah dan Sarawak, AirAsia juga mengendalikan 408 penerbangan mingguan dengan tambang biasa ke Sabah, Sarawak dan Labuan untuk menyokong inisiatif kerajaan pada musim perayaan ini," katanya dalam kenyataan media di sini. 

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya berbesar hati untuk menyokong usaha AirAsia yang merupakan sebagai satu syarikat penerbangan tempatan yang terus konsisten menyokong inisiatif kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia dapat melakukan perjalanan dengan tambang berpatutan, terutamanya semasa musim perayaan.  

"Inisiatif tambang tetap ini juga sejajar dengan inisiatif-inisiatif kerajaan termasuk program FLYsiswa yang mana kerajaan menyediakan subsidi RM300 untuk pembelian tiket penerbangan oleh pelajar universiti awam dan subsidi tambang asas RM599 sehala bagi pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi ke Sabah, Sarawak dan Labuan seperti yang diumumkan pada tahun lalu.  

"Kerjasama antara kerajaan dan pemain industri yang terlibat adalah penting untuk membangunkan sektor penerbangan yang lebih kukuh dan dinamik seterusnya memberi sumbangan besar kepada kemajuan negara.

"Oleh itu, kami berharap untuk terus bekerjasama dengan pihak industri demi kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.    

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam pula berkata, sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini, pihaknya terus komited untuk mengendalikan penerbangan dengan tambang berpatutan demi menyatukan para tetamu dengan keluarga mereka.  

"Kami berbesar hati untuk melancarkan tambang rendah tetap untuk penerbangan lewat malam antara Semenanjung Malaysia dan Sabah/Sarawak dengan 25,000 jumlah tempat duduk bagi tempoh perayaan akan datang.   

"Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana dengan sokongan mereka kami dapat menawarkan tambang berpatutan untuk semua terutamanya pada musim perayaan ini," katanya. 

Syarikat itu menambah, para tetamu yang melakukan perjalanan pada musim perayaan ini digalakkan untuk mendaftar masuk secara kendiri menggunakan aplikasi airasia SuperApp, yang tersedia seawal 14 hari sebelum tarikh perlepasan dan menggunakan pas masuk elektronik untuk menaiki penerbangan.  

Katanya, untuk menikmati pengalaman penerbangan yang lebih lancar, daftar ciri-ciri FACES melalui aplikasi airasia SuperApp untuk menggunakan lorong khas EZ Pass di lapangan terbang dan semasa menaiki pesawat.  - DagangNews