KUALA LUMPUR: Airbus SE menyasar melancarkan MEASAT-3d, satelit telekomunikasi pelbagai misi baharu yang dibina bagi pengendali satelit Malaysia, MEASAT Global Bhd, tahun depan.

Ketua bahagian Pertahanan dan Angkasa Asia Tenggara Airbus, Johan Pelissier berkata satelit baharu itu akan menggantikan kapasiti dan meningkatkan perniagaan teras MEASAT di Asia, Timur Tengah dan Afrika.

"Rancangannya adalah untuk melancarkan satelit baharu ini pada 2022.

"Airbus berharapkan banyak lagi peluang untuk meningkatkan sumbangan bagi menyokong usaha Malaysia dalam bidang angkasa," katanya semasa taklimat media secara maya mengenai tinjauan Airbus bagi segmen pertahanan dan angkasa di Malaysia, di sini, pada Isnin.

Airbus telah menyediakan imejan angkasa kepada Malaysia sejak 1998.

Pada 2014, Airbus membuat serahan MEASAT-3b dan pada 2019 dipilih sekali lagi untuk membina MEASAT-3d.

Dengan satelit baharu itu, MEASAT mengukuhkan komitmennya untuk menyediakan prasarana teras bagi industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan penyiaran Malaysia.

Mengenai prospeknya di Malaysia, Pelissier berkata Airbus berhasrat untuk mengukuhkan kedudukannya dalam bidang sokongan dan perkhidmatan bagi segmen pertahanan.

"Kami telahpun mempunyai rakan kongsi tempatan yang kukuh bagi helikopter dan A400M, dan berharap dapat memanfaatkan perkongsian sedia ada ini dalam bahagian pertahanan dan ketenteraan bagi membantu Malaysia mewujudkan operasi penyenggaraan, pembaikan, baik pulih (MRO) selenggara sendiri dan membangunkan keupayaan kejuruteraan peringkat tinggi bagi menyokong MRO kompleks dalam platform berbeza.

"Kami terus berusaha untuk mengembangkan industri tempatan ini yang telahpun kukuh sebagai menyokong rancangan kolaborasi industri yang berterusan terutamanya dalam pertahanan," katanya.

Mengenai kelestarian pada masa depan, Ketua Negara Airbus Malaysia, Raymond Lim berkata syarikat itu menyasar meneraju usaha pengurangan karbon sektor aeroangkasa dan membina pesawat sifar pelepasan karbon dunia menjelang 2035.

Menurutnya, Airbus telah lama mengiktiraf Malaysia sebagai rakan utama untuk merealisasikan visi penerbangan sifar pelepasan karbonnya.

Lim berkata syarikat itu telah bekerjasama dengan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia sejak sembilan tahun lepas bagi program penerbangan lestarinya dengan penekanan kepada meneroka potensi biojisim sebagai bahan mentah bagi bahan api penerbangan lestari.

Beliau berkata rizab sumber boleh diperbaharui yang besar dan pasaran tenaga yang kukuh juga meletakkan Malaysia sebagai potensi peneraju bagi membangunkan pasaran hidrogen.

"Apabila ada keperluan, Airbus bersedia untuk menyokong Malaysia dalam pembangunan ekosistem mampan yang boleh melibatkan teknologi hidrogen," katanya.

-- BERNAMA