SHAH ALAM: Ajaran sesat Suhaini Bin Mohammad atau 'Si Hulk' yang sedang tersebar di Switzerland bukan di bawah bidang kuasa kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar sebaliknya berkata perkara itu berada di bawah kuasa negara berkenaan.

Bagaimanapun jelasnya, kerajaan sentiasa bekerjasama rapat dengan beberapa gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di negara berkenaan bagi menyalurkan segala maklumat.

“Perkara terbaik yang kita boleh lakukan ialah salurkan maklumat kepada NGO Islam di sana. Kalau berlaku di Malaysia (ajaran sesat) kita boleh halang kerana ini akan porak perandakan kepercayaan orang Islam di Malaysia.

“Jakim telah adakan rangkaian dengan beberapa NGO Islam dan kita harap mereka sebarkan maklumat ini kepada masyarakat Islam di Switzerland supaya mereka tidak terpengaruh dengan ajaran sesat yang cuba disebarkan oleh pengikut-pengikut ‘Si Hulk’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Himpunan Persaudaraan Hujjaj (HISHAJ) di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong pada Sabtu.

Sebelum ini, pihak berkuasa berjaya menahan beberapa individu yang dikatakan pengikut ajaran Si Hulk yang cuba mengadakan pertemuan bersama pengasas ajaran sesat itu di Switzerland.

Usaha itu dipercayai sebagai usaha untuk mengadakan kerjasama bagi meluaskan lagi ajaran menyeleweng itu termasuk di negara ini.

Ajaran sesat pimpinan Suhaini Bin Mohammad juga telah difatwakan sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.