Skip to main content

Dunia

Iran tolak alasan 'mempertahankan diri' AS, label serangan sebagai pencerobohan

Iran pursues diplomatic path, but remains vigilant: spokesman
Baghaei (foto) menegaskan bahawa tindakan AS melanggar kedaulatan negara dan undang-undang antarabangsa memandangkan tiada provokasi ketenteraan awal dimulakan oleh Tehran. -Gambar fail/Reuters

TEHRAN: Kementerian Luar Iran menyelar dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa tindakan ketenteraan terhadap negara itu dilakukan atas dasar "pertahanan diri", sebaliknya menyifatkan ia sebagai satu bentuk pencerobohan yang nyata.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, menerusi hantaran di media sosial pada Jumaat, mempersoalkan asas naratif Washington yang mendakwa serangan tersebut bertujuan melindungi sekutunya, Israel, serta mempertahankan kepentingan AS sendiri.

Advertisement

"Pertahanan diri terhadap apa? Adakah terdapat sebarang 'serangan bersenjata' oleh Iran yang mewajarkan tindakan tersebut? Pastinya tidak!

"Jadi ini sama sekali bukan 'pertahanan diri' — ia adalah satu tindakan pencerobohan terhadap negara Iran," katanya dalam hantaran di platform X.

 

 

Kenyataan keras itu dibuat sebagai reaksi terhadap dokumen Jabatan Negara AS yang mempertahankan konflik berkenaan sebagai langkah “pertahanan diri kolektif” bersama Israel.

Baghaei menegaskan bahawa tindakan AS melanggar kedaulatan negara dan undang-undang antarabangsa memandangkan tiada provokasi ketenteraan awal dimulakan oleh Tehran.

Ketegangan diplomatik ini semakin meruncing selepas pentadbiran Donald Trump mendakwa peperangan tersebut telah "ditamatkan" bagi mengelak sekatan Resolusi Kuasa Perang 1973.

Namun, Tehran melihat hujah berkenaan hanya sebagai taktik politik Washington untuk menghalalkan kehadiran tentera dan sekatan ekonomi yang masih berterusan di rantau Asia Barat.

Sehingga kini, Selat Hormuz dilaporkan masih ditutup kepada kapal-kapal negara musuh, manakala rundingan damai di Islamabad masih belum menunjukkan tanda-tanda penyelesaian yang konkrit.

Must Watch Video