Skip to main content

Malaysia

Wanita warga asing maut dipercayai jatuh dari tingkat 13 pangsapuri Nilai

71770254780_mayatgeneric.jpg
Pasukan perubatan Klinik Kesihatan Nilai mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat wanita itu dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat. -Gambar hiasan

NILAI: Seorang wanita warga asing berusia 20-an ditemukan meninggal dunia dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Bandar Baru Nilai di sini, 1.51 pagi tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, mengesahkan menerima maklumat kejadian kira-kira 1.30 pagi ketika sepasukan pegawai menjalankan serbuan berkaitan kesalahan narkotik di premis berkenaan.

Advertisement

“Semasa serbuan dijalankan wanita tersebut dipercayai bertindak melarikan diri melalui balkoni unit premis berkenaan, sebelum tergelincir dan jatuh dari tingkat 13 bangunan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Alzafny berkata susulan kejadian itu, unit rondaan bermotosikal (URB) IPD Nilai digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Beliau berkata pasukan perubatan daripada Klinik Kesihatan Nilai tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat wanita itu dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat.

“Hasil siasatan awal di lokasi mendapati tiada unsur jenayah dikesan setakat ini dan kes diklasifikasikan mati mengejut, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mendapatkan rakaman percakapan saksi," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggangu siasatan pihak polis dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta membantu siasatan dengan menghubungi IPD Nilai atau balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video