BATU PAHAT: Seorang akauntan kerugian RM776,000 selepas dipercayai ditipu sindiket pelaburan tidak wujud, bermula Oktober tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata wanita berusia 49 tahun berkenaan mendakwa mula terperdaya selepas melihat iklan berkaitan satu pelaburan menerusi laman Facebook yang menjanjikan pulangan lumayan.

Beliau berkata tertarik dengan iklan itu, wanita berkenaan telah berurusan dengan empat individu melalui aplikasi WhatsApp untuk menyertai pelaburan berkenaan.

"Mangsa dikehendaki melakukan aktiviti jual beli mata wang kripto dan kemudian diminta oleh suspek untuk memuat turun satu aplikasi.

"Mangsa juga telah memberikan maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan dan maklumat akaun bank untuk tujuan pendaftaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata wanita berkenaan telah mendepositkan wang ke 23 akaun bank berbeza secara berperingkat dan kemudian mendapati pelaburannya meraih keuntungan selepas membuat semakan melalui aplikasi itu.

Bagaimanapun, wanita terbabit diminta membayar satu peratus daripada keuntungan berkenaan sekiranya ingin mengeluarkan keuntungan diperoleh.

"Mangsa yang gagal membayar jumlah berkenaan mendapati akaun aplikasi miliknya itu telah disekat dan sehingga kini mangsa masih tidak menerima sebarang keuntungan daripada pelaburan terbabit.

"Wanita itu membuat laporan Balai Polis Batu Pahat pada Isnin lepas (29 Jan) dan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Ismail sehubungan itu menasihati orang ramai supaya tidak terperdaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dan membuat semakan dengan pihak berkuasa jika mempunyai sebarang keraguan.

-- BERNAMA