Hujan lebat yang turun sejak awal pagi tadi mengakibatkan banyak kawasan di sekitar bandar raya ini dinaiki air dan jalan raya menjadi sesak kerana kenderaan tidak dapat melaluinya.

Sehingga pukul 11.30 tengah hari, hujan lebat masih dilapor berlaku.

Antara kawasan yang didapati dinaiki air ialah Hospital Umum Sarawak (HUS), Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Jalan Badaruddin, Balai Bomba Padungan, Fakulti Perubatan Unimas, kampus UiTM Samarahan dan Padang Merdeka.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata pihaknya turut memindahkan pesakit yang berada di tingkat bawah HUS ke tingkat lebih atas untuk sementara waktu.

Beliau berkata sehingga kini bomba menerima tidak kurang 17 panggilan kecemasan tiap sejam mengenai banjir sejak pukul 6 pagi ini, dan pihaknya sedang bertungkus lumus menanganinya.

Beliau berkata kawasan tersebut ialah sekitar Kampung Selipar Putus, Kampung Tabuan Dayak, Padungan, Batu Lintang, kawasan perumahan di daerah Samarahan, dan beberapa kampung di daerah Bau.

Sementara itu satu kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di KM18 Jalan Serian Tebedu mengakibatkan laluan itu terputus.

Beberapa penduduk yang tinggal sekitar pinggir sungai terutama di bahagian Kuching dan Serian telah dipindahkan, namun sehingga ini jumlhnya masih belum dapat dimuktamadkan.