Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan membentangkan cadangan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hak akses ke capaian internet turut diletakkan sebagai hak asasi rakyat negara ini.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, langkah itu diambil berikutan pengembangan sektor e-perniagaan yang semakin mengambil tempat dalam sektor ekonomi negara dan dunia.

Ujarnya lagi, dengan meletakkan hak akses ke capaian internet sebagai hak asasi, rakyat Malaysia boleh mendapat manfaat yang lebih daripada perkembangan sektor itu.

"Kita kena lihat kaedah bagaimana kita boleh bawa internet kepada semua rakyat malaysia supaya mereka boleh nikmati hasil e-commerce. Tetapi untuk berjaya apa yang penting ialah untuk kita wujudkan sistem di mana kerajaan boleh pastikan internet ini atau connectivity ini sampai ke setiap rakyat Malaysia.

"Maka kita ada undang-undang ada Perlembagaan Persekutuan, dan Perlembagaan ini ada disebut berkenaan hak hak yang tertentu. Saya akan cadangkan kepada kerajaan supaya kita lihat memasukkan hak kepada setiap rakyat untuk ada akses kepada internet," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), di sini pada Isnin.

Gobind, yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, bagi membolehkan pindaan itu dilakukan, perkara itu harus mendapat kelulusan Kabinet terlebih dahulu.

Ujarnya lagi, sekiranya ia diluluskan, maka polisi itu akan memboleh kesemua syarikat telekomunikasi, syarikat penyedia perkhidmatan internet dan sebagainya, dapat bersama-sama mencari jalan bagaimana mereka boleh membantu kerajaan mencapai aspirasi itu.

Beliau berkata, walaupun pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan dua per tiga daripada jumlah keseluruhan ahli Dewan Rakyat, namun beliau percaya ia mampu dicapai memandangkan perkara ini dapat memberi manfaat yang lebih kepada rakyat, di samping membantu mengukuhkan sektor ekonomi negara ini.

Dalam pada itu, Gobind berkata, beliau sedia maklum mengenai dua kes kebocoran data besar-besaran, iaitu yang melibatkan pengguna perkhidmatan IPTV di bawah Astro dan Maxis, dan juga kes yang melibatkan Kementerian Pelajaran.

Katanya lagi, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyiasat perkara itu secara terperinci, dan menyediakan laporan kepada kementerian dalam masa seminggu.