PUTRAJAYA: Penyedia platform ekonomi gig diberi tempoh tiga hingga enam bulan untuk mengintegrasikan sistem mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) susulan penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) hari ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata tempoh peralihan ini bertujuan memberi masa yang mencukupi kepada pengendali platform untuk menyesuaikan diri dengan keperluan perundangan baharu itu.
Advertisement
Beliau berkata semua platform telah diberikan notis seawal Mac tahun lepas, yang diikuti dengan pelbagai sesi libat urus untuk membincangkan pelaksanaan undang-undang baharu itu.
“Semasa sesi terakhir (libat urus) kami, saya ada menyebut bahawa kita ada masa tiga hingga enam bulan. Apa jua yang kita lakukan dalam hidup kita, apabila berlaku perubahan, kita memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
“Selagi anda mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menyesuaikan diri, tindakan yang boleh kita lihat dan pantau dengan teliti, adalah wajar untuk menggunakan moratorium tiga hingga enam bulan ini,” katanya pada sidang media di Menara Perkeso, di sini, hari ini.
Ramanan menegaskan walaupun kerajaan memberikan sokongan, namun undang-undang mesti ditegakkan.
"Kami tidak akan menghukum anda serta-merta sekiranya anda tidak mematuhi peraturan menjelang esok. Bagaimanapun, kami telah menyediakan masa yang mencukupi. Sebaik sahaja sesuatu tindakan dilaksanakan, ia mesti dikuatkuasakan dan diambil serius," katanya.
Beliau berkata sebelum akta itu dibentangkan dan diluluskan di Parlimen, Kementerian Sumber Manusia telah menjalankan 37 sesi libat urus yang melibatkan kira-kira 3,873 peserta, termasuk agensi kerajaan, kesatuan sekerja, persatuan majikan dan penyedia platform.
Menurutnya, sistem caruman bersepadu 1.25 peratus itu membolehkan perlindungan mandatori untuk kecederaan dan penyakit pekerjaan, menggantikan Skim Keselamatan Sosial Bekerja Sendiri (SKSPS) atau Lindung Kendiri secara sukarela sebelum ini, yang memerlukan pendaftaran individu.
Akta Pekerja Gig yang diwartakan pada 31 Dis, 2025, bertujuan untuk melindungi keselamatan sosial, kebajikan dan martabat pekerja gig, dengan menyediakan perlindungan yang setanding dengan pekerja formal kepada lebih 1.2 juta orang yang bekerja dalam sektor ini.
-- BERNAMA