Skip to main content

Malaysia

Akta 877 tingkat kecekapan pengurusan kes insolvensi rentas sempadan

[TB]_azalina armizan_SINAR
Azalina dan Armizan memaklumkan Kerajaan MADANI komited untuk memastikan Akta 877 dilaksanakan secara teratur, cekap dan berkesan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara. - Gambar Sinar Harian
Advertisement

PUTRAJAYA: Penguatkuasaan Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 (Akta 877) pada 28 Ogos akan mempertingkatkan kecekapan pengurusan kes insolvensi rentas sempadan selain memperkukuh kerjasama antara mahkamah dan pihak berkuasa berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataan bersama berkata akta itu turut meningkatkan kepastian undang-undang serta melindungi kepentingan pemiutang dan pihak berkepentingan.

“Akta 877 menyediakan mekanisme khusus bagi mengendalikan prosiding insolvensi yang melibatkan penghutang, aset, pemiutang atau prosiding di lebih daripada satu bidang kuasa.

“Akta ini hasil kerjasama antara dua menteri terlibat selaras dengan agenda reformasi undang-undang Kerajaan MADANI bagi memastikan kerangka perundangan negara kekal relevan, progresif dan sejajar dengan perkembangan ekonomi, sosial serta perdagangan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Akta 877 adalah berasaskan Undang-Undang Model Insolvensi Rentas Sempadan yang diterima pakai oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL).

“Model ini disesuaikan dengan undang-undang, amalan kehakiman, keadaan ekonomi dan kepentingan awam Malaysia bagi memastikan pelaksanaannya mengambil kira keperluan serta kepentingan negara,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, penguatkuasaan Akta 877 juga akan membantu memaksimumkan nilai aset penghutang dan memudahkan usaha penyelamatan perniagaan.

“Langkah itu penting bagi melindungi pelaburan serta memelihara pekerjaan, khususnya dalam situasi yang melibatkan prosiding insolvensi merentasi lebih daripada satu bidang kuasa,” menurut kenyataan itu.

Akta itu juga menyediakan kerangka yang lebih jelas dalam pengendalian prosiding insolvensi rentas sempadan, sekali gus memperkukuh penyelarasan dan kerjasama antara mahkamah serta pihak berkuasa berkaitan.

Azalina dan Armizan memaklumkan Kerajaan MADANI komited untuk memastikan Akta 877 dilaksanakan secara teratur, cekap dan berkesan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Pelaksanaan akta itu turut dijangka menyokong kedudukan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan antarabangsa yang mempunyai kerangka perundangan relevan dan progresif.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement