KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 atau Akta Antilompat Parti akan mendapat sokongan penuh Ahli Dewan Negara.

Menurut Perdana Menteri, beliau berkesempatan mendengar Ahli-Ahli Dewan Negara yang membahaskan RUU tersebut dan mereka telah menyatakan sokongan untuk pelaksanaannya.

Ismail Sabri juga optimis RUU itu akan diluluskan petang ini dan proses seterusnya jika diluluskan Dewan Negara, ialah untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk digazetkan.

“Saya yakin petang nanti kita akan mendapat sokongan sepenuhnya daripada Ahli Dewan Negara. Selepas diluluskan kita akan hantar kepada YDP Agong untuk diperkenan dan selepas itu saya difahamkan dihantar balik kepada Peguam negara, selepas itu baru akan digazet," katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri membentangkan RUU tersebut untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara.

Antara yang diperincikan beliau ialah peruntukan yang terkandung dalam akta tersebut selain pengecualian pelaksanaannya terhadap Ahli Dewan Negara.

Ismail Sabri berkata, RUU tersebut perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga atau 40 orang daripada keseluruhan jumlah Ahli Dewan Negara.

Mengulas mengenai akaun Telegram dan Signalnya yang telah digodam semalam, Perdana Menteri berkata, beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.

"Semalam ada orang hacked (godam) saya punya Telegram dan juga Signal. Jadi sebenarnya kita akan minta, saya pun dah melaporkan kepada MCMC supaya MCMC lebih proaktif.

“Dapat saja laporan tentu akan diambil tindakan (oleh MCMC). Cuma kita di peringkat pengguna, kita kena lebih berwaspada, berhati-hati. Banyak cara mereka untuk membuatkan kita terjebak dalam apa yang mereka lakukan ini," kata Ismail Sabri lagi.