KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) yang merangkumi semua bentuk jenayah berkaitan siber dalam sidang Parlimen pada Julai depan. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia berikutan perundangan sedia ada tidak mencukup untuk menangani jenayah berkaitan sindiket penipuan pekerjaan yang mencari mangsa melalui medium dalam talian.

"Jenayah ini merupakan jenayah yang sangat kompleks, sophisticated dan dinamik bermaksud elemen undang-undang yang ada di negara ini belum sempurna lagi.

"Insya-Allah, dalam tahun ini kalau semuanya berjalan mengikut rencana, sidang bulan Julai nanti kita akan bentangkan satu RUU berhubung ikhtiar kerajaan bagi menangani ancaman siber.

"Justeru, saya berharap pembentangan RUU itu nanti akan mendapat sokongan daripada Yang Berhormat nanti," katanya di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai usaha kerajaan untuk menangani jenayah siber terutamanya membabitkan sindiket penipuan pekerjaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin memaklumkan, kerajaan juga dalam usaha mewujudkan satu entiti tunggal yang membabitkan beberapa agensi kawal selia sekarang bagi tujuan sama.

"Daripada situ akan memudahkan kita untuk mengambil pakar dalam isu terbabit. Kalau ikut saluran biasa dengan skim perjawatan dan pangkat biasa tak begitu tertarik dan kerajaan sedar struktur serta sistem sedia tak memadai, jadi kita ke arah itu.

Bagi soalan asal yang dikemukakan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), Saifuddin menegaskan, sebanyak 339 rakyat Malaysia terkandas akibat kes penipuan pekerjaan di negara luar membabitkan antaranya Laos, Kemboja, Myanmar, Filipina, Thailand dan Dubai.

Daripada jumlah itu, jelas beliau, 218 mangsa telah diselamatkan manakala 121 lagi masih terkandas dan ketika ini pun pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada di Thailand dalam misi menyelamat sama.