Badan Peguam Malaysia menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara untuk menyemak semula kes Prof Madya Dr Azmi Sharom dan beberapa lagi kes lain yang didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.

Presiden Badan Peguam, Christopher Leong dalam satu kenyataan hari ini turut menyambut baik cadangan Jabatan Peguam Negara untuk mengambil kira isu serta keprihatinan yang dibangkitkan berhubung keputusan tersebut.

"Perdana Menteri telah beberapa kali menyatakan dan mengulangi pendirian bahawa Akta Hasutan 1948 tidak lagi revelan dan akan dimansuhkan," kata beliau.

Justeru, Leong menggesa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail supaya menarik balik dakwaan yang dikenakan ke atas Dr Azmi termasuk beberapa lagi kes tertangguh di bawah akta yang sama.

Badan Peguam Negara dalam satu kenyataan pada 9 September, memaklumkan akan menyemak semula kes dakwaan Akta Hasutan terhadap Dr Azmi Sharom serta beberapa lagi kes lain.

Menurut, Abdul Gani, keputusan mengenai penyemakan semula itu juga akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Pada 2 September lalu, Dr Azmi Sharom yang merupakan Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya (UM), telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan disabitkan dengan pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Dr Azmi, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menghasut berhubung krisis perlembagaan Perak 2009, 15 Ogos lalu dan didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Dr Azmi didakwa kerana kenyataannya di dalam sebuah artikel bertajuk "Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told" (Ambil jalan krisis Perak, selesaikan segera kebuntuan Selangor, Pakatan diberitahu), yang diterbitkan sebuah portal berita pada 14 Ogos.

Hari ini, Majlis Peguam Malaysia mengadakan satu mesyuarat luar biasa (EGM) yang antara lain membincangkan usul berkenaan Akta Hasutan tersebut.