Dakwaan pembangkang yang mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menepati janji dalam isu Akta Hasutan dilihat tindakan susulan yang boleh dijangka.

Pembahas dari Kedah, Mohd. Kamal Saidin berkata, sikap itu tidak wujud pada ahli UMNO yang selalu mahukan penambahbaikan dalam akta tersebut untuk keharmonian masyarakat.

"Pembangkang bangkitkan Presiden UMNO kononnya tidak tepati janji. Apakah kita puas hati kalau akta dikekalkan dan ditambah baik, sedangkan pembangkang pertikai kononnya Perdana Menteri mungkir janji pada tahun 2012 dulu yang mengatakan akta ini hapuskan.

"Bukan janji tetapi sekadar hendak dikaji, diteliti tetapi dengan syarat. Ini kita kena jawab bila balik ke kawasan-kawasan," katanya ketika membahaskan usul agama dan pendikan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Pada ucapan dasar Presiden, Najib mengumumkan akan terus mengekalkan Akta Hasutan 1948 seiring dengan desakan tiga sayap parti itu dalam persidangan mereka semalam.

Najib berkata, bukan hanya akta tersebut dikekalkan malah dua peruntukan khas akan dimasukkan supaya ia lebih berkesan.

Beberapa portal menyiarkan pandangan pemimpin pembangkang yang mengungkit kenyataan Najib pada 11 Julai 2012 yang mengumumkan akan memansuhkan Akta Hasutan selepas mengadakan pertemuan dengan Pejabat Peguam Negara.

Portal itu turut menyatakan janji Najib pada Julai 2013 semasa temubual dengan media antarabangsa British Broadcasting Corporation (BBC) mengatakan akta tersebut akan diganti dengan Akta Keharmonian.

Jelas Mohd. Kamal, orang Melayu juga diminta tidak bersengketa dan memikirkan kesan buruk seandainya perkara buruk itu terjadi.

"Apabila negara dijajah semula, rakyat menderita dan sengsara. Inilah pentingnya Akta Hasutan yang mengekalkan harta keamanan negara.

"Bagaimana umat Islam di Palestin, Libya yang semuanya adalah agenda Yahudi. Jadi, kita kekalkan keamanan negara dan tentang siapa sahaja yang menodai keamanan negara ini," ujarnya.

Katanya lagi, akta berkenaan dapat membendung pelampau perkauman, ekstremis yang anti Islam selain pembangkang Melayu yang bersekongkol dengan pengkhianat-pengkhianat negara.

"Tugas UMNO ini, kita lihat apa yang akan jadi jika akta ini dikekalkan dan tambahbaik. Tangani bersama sebarang isu yang timbul dan pastinya negara kita dapat mengekalkan keharmonian dan keamanan, " jelasnya.