PETALING JAYA: Selangor FC membawa bekalan tipis ke gelanggang lawan selepas menewaskan wakil Vietnam, Nam Dinh FC 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025/2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah kendalian Kim Pan Gon perlu mengelak kekalahan pada aksi timbal balik di Stadium Thien Truong, Vietnam, Rabu depan bagi mengesahkan kemaraan ke pentas akhir.
Dalam aksi malam tadi, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan bertenaga sejak wisel permulaan, namun Selangor lebih menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang awal yang menguji benteng lawan.
Gol pembukaan Selangor hadir pada minit ke-37 apabila hantaran leret Quentin Cheng berjaya disudahkan oleh Chrigor Moraes untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.
Nam Dinh bangkit menyamakan kedudukan apabila Van Vi Nguyen meledak gol pada penghujung babak pertama, sekali gus menjadikan kedudukan 1-1 sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, Selangor kembali memperkemaskan rentak permainan dengan meningkatkan intensiti serangan ke arah kubu lawan.
Hasilnya, Moraes sekali lagi menjadi pemusnah apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-58 menerusi sepakan lambung selepas menerima hantaran tepat Quentin.
Nam Dinh cuba bangkit mencari gol penyamaan menerusi beberapa serangan balas pantas, namun barisan pertahanan Selangor kekal disiplin menutup ruang dan menyerap tekanan lawan sebelum wisel penamat ditiup.
-- BERNAMA