MOSCOW: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selamat berangkat tiba di Moscow hari ini atas jemputan khas Kerajaan Persekutuan Rusia sebagai tetamu kehormat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan pada 9 Mei.
Pesawat peribadi Seri Paduka Baginda mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo-2 pada jam 4.20 petang waktu tempatan.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Rusia, Andrey Rudenko, Ketua Pengarah Jabatan Protokol Rusia, Bogdashev Igor Viktorovich, serta Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai.
Jemputan khas daripada Presiden Vladimir Putin itu mencerminkan pengiktirafan tinggi Rusia terhadap Malaysia serta hubungan dua hala yang semakin kukuh antara kedua-dua negara.
Lawatan ini juga memperkukuh kesinambungan hubungan diplomatik Malaysia–Rusia, selepas Sultan Ibrahim mencipta sejarah tahun lalu sebagai Ketua Negara Malaysia pertama mengadakan lawatan negara ke Rusia sejak hubungan diplomatik terjalin pada 1967.
Sambutan Hari Kemenangan yang diadakan setiap 9 Mei merupakan acara penting bagi memperingati kemenangan Rusia dalam Perang Dunia Kedua, dengan kehadiran Seri Paduka Baginda dijangka menjadi antara sorotan utama sambutan tersebut.