MALAYSIA
Akta Orang Asli 1954 dipinda, kerajaan lihat pendekatan Maori di New Zealand - Ahmad Zahid

Selepas lebih tujuh dekad tidak dikaji semula, Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) kini sedang dipinda dengan mengambil inspirasi daripada model pemerkasaan masyarakat Maori di New Zealand, kata Ahmad Zahid. - Gambar Bernama
WELLINGTON: Selepas lebih tujuh dekad tidak dikaji semula, Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) kini sedang dipinda dengan mengambil inspirasi daripada model pemerkasaan masyarakat Maori di New Zealand, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, antara elemen utama yang diperkenalkan oleh kerajaan New Zealand dan berpotensi disesuaikan di Malaysia ialah hak pemilikan tanah, akses pendidikan yang lebih inklusif serta penubuhan agensi pembiayaan khusus untuk menyokong keusahawanan komuniti peribumi.
"Akta 134 ini telah berusia 71 tahun dan banyak aspek perlu diperhalusi semula. Di sini (New Zealand), kita bukan sekadar melihat isu pemilikan tanah tetapi juga hak dalam pendidikan, perniagaan dan pembiayaan," katanya dalam sidang media, di Rumah Malaysia, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan, pendekatan New Zealand tidak boleh diguna pakai secara langsung kerana perlu diadaptasi mengikut keperluan dan realiti masyarakat Orang Asli di Malaysia.Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, kini berada di New Zealand bagi lawatan kerja lima hari yang berakhir Jumaat ini.
Beliau menjelaskan, pindaan kepada Akta 134 itu kini berada di peringkat draf awal, dengan proses libat urus sedang dijalankan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk tokoh akademik dan profesional Orang Asli.
Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang berada di bawah kementeriannya telah diamanahkan untuk merangka semula ekosistem pembangunan komuniti tersebut supaya tidak tertumpu kepada keperluan asas seperti infrastruktur dan pendidikan semata-mata.
"Tujuan pindaan ini bukan untuk menafikan hak, sebaliknya untuk memperkukuh perlindungan terhadap masyarakat Orang Asli.
"Ia akan melalui proses perbincangan Jemaah Menteri sebelum dibentang di Parlimen, dibahaskan, diundi dan seterusnya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk digazetkan," katanya.
Ahmad Zahid turut menekankan keperluan kerjasama erat dengan kerajaan negeri memandangkan isu pemilikan tanah melibatkan bidang kuasa negeri.
"Sesi libat urus bersama kepimpinan negeri dan wakil daripada 377 perkampungan Orang Asli sedang dijalankan. Kita mahu pendekatan menyeluruh dan inklusif," katanya.
Mengulas statistik semasa, beliau berkata, lebih 225,000 Orang Asli direkodkan di Semenanjung Malaysia dan kerajaan tidak pernah meminggirkan kepentingan komuniti itu meskipun jumlahnya minoriti.
Beliau menjangkakan draf pindaan Akta 134 itu dapat dibentangkan pada sesi Parlimen Mac tahun hadapan.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Maori New Zealand, Tama Potaka di Parlimen negara itu.
Pertemuan tersebut membuka ruang kerjasama dua hala dalam bidang pembangunan komuniti peribumi, selain menjadi platform pertukaran dasar dan pengalaman antara kedua-dua negara.
Beliau turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kawal Selia Peraturan New Zealand, David Seymour serta menghadiri sesi libat urus bersama Presiden Persekutuan Persatuan Islam New Zealand (FIANZ), Ibrar Sheikh di Rumah Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami