Akta Orang-orang Papa 1977 akan dikaji semula bagi memenuhi keperluan golongan gelandangan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun kepada Dewan Rakyat hari ini,

Katanya, ia termasuk penambaikan daripada segi pengaktifan semula sekretariat penyelarasan bagi menangani isu gelandangan dan pengemisan.

Usaha itu, menurutnya, akan melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Rina berkata, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebanyak 23 pusat gelandangan sementara telah dibuka bagi menempatkan 1,283 gelandangan.

"Daripada jumlah itu 50 peratus gelandangan dikesan di Kuala Lumpur, diikuti JOhor (20 peratus) dan Sarawak," katanya menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun).

Wan Hassan bertanya mengenai isu gelandangan dan peleseran semasa tempoh pelaksanaan PKP.

Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menjelaskan, kesemua gelandangan yang diselamatkan telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan psikologi.

Tambahnya, kementerian turut mengambil inisiatif lain termasuk menghantar pulang mereka yang masih mempunyai waris kepada keluarga masing-masing.

"Bagi mereka yang tiada waris, kita telah menghantar mereka ke Jabatan Kebajikan Masyarakat," jelasnya.