KUALA LUMPUR: Akta baharu bagi kesalahan penagihan dadah akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini untuk diwartakan sebagai undang-undang, sebagai inisiatif untuk mengurangkan kesesakan di penjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan di bawah akta baharu iaitu Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan), penagih yang disabitkan dengan kesalahan akan menjalani rawatan pemulihan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di institusi atau komuniti. 

"Akta baharu ini kelak akan merangkumi aspek perundangan yang lebih komprehensif dan tersusun bagi membolehkan penyalah guna dan penagih dadah serta bahan dapat menerima rawatan dan pemulihan dengan sewajarnya.

"Bila akta baharu itu diwartakan, kes-kes penagih dadah akan disalurkan kepada AADK sama ada di bawah rawatan pemulihan di institusi atau rawatan pemulihaan dalam komuniti.

"Kalau kita hantar ke rawatan pemulihan institusi di bawah AADK, dia akan ditempatkan dua tahun, baki dua tahun lagi dia akan sambung ke dalam rawatan peringkat komunikasi, sebaliknya kalau disalurkan ke rawatan di komuniti maka dia akan ditempatkan selama tiga tahun.

"Jadi berbeza sekarang (akta berkaitan dadah yang sedia ada), dia mungkin berakhir (hukuman) dalam penjara," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian kepada soalan Wong Chen (PKR-Subang) mengenai komitmen kerajaan untuk menyahjenayahkan kesalahan dadah kecil dalam usaha mengurangkan populasi banduan.

Saifuddin menambah, ketika ini kira-kira 74,459 pesalah ditempatkan di 39 penjara di Malaysia, namun jumlah keupayaan sebenar penjara adalah 65,000 pesalah.

Menurutnya, tujuan utama dasar pengalihan penyalahgunaan dadah itu adalah untuk meningkatkan akses bagi mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah supaya dapat kembali kepada masyarakat.

Menjawab soalan tambahan, Saifuddin setelah banduan yang menjalani hukuman dibebaskan, ada kalanya mereka tidak diterima keluarga atau masyarakat. 

"Jadi kita tempatkan mereka di rumah perantaraan, sementara kita berusaha untuk mendapatkan mereka pekerjaan," katanya. 

Selain rumah perantaaan, beliau memberitahu, di bawah sistem parol, banduan dibenarkan menghabiskan baki hukuman di luar penjara, dengan jagaan. 

"Kedua di bawah pembebasan berlesen Seksyen 43 Akta Penjara, Ketua Pengarah penjara boleh mengusulkan supaya pesalah berkenaan ditempatkan ke program pemulihan. 

"Inisiatif-insiatif ini bagi setiap 800 yang dibebaskan hanya satu sahaja yang patah balik ke penjara berbanding tahanan biasa, daripada 100 dibebaskan 15 patah balik," jelasnya. 

Beliau turut memaklumkan, kerajaan terpaksa membelanjakan RM450 sebulan bagi setiap banduan.

"Namun dengan perintah parol, pembebasan berlesen dan sebagainya, kerajaan berjaya menjimatkan RM17 juta pada tahun lalu," ujarnya.