KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan melepaskan kuasa eksekutif terhadap pentadbiran Parlimen selepas lebih tiga dekad menerusi penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, akan memperkukuh autonomi pentadbiran Parlimen Malaysia.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, akta itu membolehkan urusan perjawatan, pelantikan dan pentadbiran pegawai Parlimen diuruskan dengan lebih bebas, sekali gus memperjelas prinsip pengasingan kuasa antara badan legislatif dengan eksekutif.
Beliau berkata, sebelum ini, urusan pentadbiran Parlimen tertakluk kepada struktur perkhidmatan awam Persekutuan, susulan pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 pada 1992.
“Usaha ini merupakan satu langkah yang wajar dan kesinambungan kepada usaha memantapkan institusi Parlimen sebagai salah satu tonggak negara, berasaskan doktrin pengasingan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman,” katanya kepada Bernama.
Khairil Azmin berkata, penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) dan jawatan Ketua Pentadbir Parlimen, merupakan komponen penting bagi memperkemas pengurusan perkhidmatan serta mengurangkan birokrasi.
Beliau juga berpendapat bahawa autonomi pentadbiran berpotensi meningkatkan kualiti perbahasan dan keputusan Ahli Parlimen melalui sokongan penyelidikan, data dan maklumat berkualiti.
“Ahli Parlimen memerlukan data, maklumat dan hasil penyelidikan yang berkualiti sebelum membuat keputusan. Di sinilah pentingnya pegawai yang berkhidmat di Parlimen kerana mereka menyediakan sokongan yang diperlukan,” katanya.
Sementara itu, beliau mencadangkan empat penambahbaikan terhadap akta berkenaan, iaitu memperincikan skop perkhidmatan Parlimen iaitu, memberi kuasa kepada MPP mewujudkan jawatan baharu, memperkukuh autonomi kewangan serta meningkatkan akauntabiliti.
Beliau berkata, perincian kategori pegawai dan kuasa mewujudkan jawatan baharu penting, bagi memenuhi keperluan pentadbiran serta memperluas peluang kerjaya.
Khairil Azmin turut mencadangkan MPP diberi ruang mengemukakan cadangan belanjawan sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada ketetapan Kementerian Kewangan, manakala jawatan Ketua Pentadbir Parlimen wajar diisi pegawai daripada perkhidmatan Parlimen sendiri.
Beliau juga menyarankan laporan tahunan diwajibkan untuk dibentangkan di Parlimen serta mekanisme pengawasan melalui Jawatankuasa Pilihan Parlimen diwujudkan, bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.
Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, MPP dijangka beroperasi sepenuhnya pada Disember ini, selepas Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 berkuat kuasa pada 1 Okt lepas.
MPP akan dipengerusikan bersama oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara, dengan keanggotaan seramai 16 orang.
Pada 14 Okt lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul pelantikan empat Ahli Parlimen sebagai anggota MPP, iaitu Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).
Usul itu dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengikut Seksyen 3(2)(f) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang- Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim melepaskan kawalan eksekutif terhadap pentadbiran Parlimen, merupakan pencapaian penting dalam memperkukuh kebebasan institusi itu selepas 33 tahun.
-- BERNAMA