Ringkasan AI
- Pemilik rumah yang terlibat dalam rancangan pembaharuan semula bandar berhak mendapat unit penggantian yang lebih baik dan selesa, selari dengan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
- Ahli Parlimen dan pegawai kerajaan melawat empat tapak perumahan, termasuk kawasan yang usang dan kawasan yang telah berjaya dibangunkan semula.
- Projek pembaharuan semula bandar bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat dan nilai hartanah, dengan contoh seperti Residensi Kerinchi dan 1Razak Mansion yang kini bernilai lebih tinggi.
Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, jaminan itu adalah selari dengan peruntukan yang termaktub di bawah Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB), iaitu konsep one-to-one atau not less favourable di mana pemilik mesti menerima unit baharu yang lebih baik daripada unit asal.
“Undang-undang (PSB) jelas, apa yang akan anda (pemilik rumah terima) tidak akan bernilai kurang daripada apa yang anda miiki ketika ini. Maksudnya katalah unit anda (sebelum ini) berkeluasan 450 kaki persegi, anda akan terima (unit yang lebih luas).
“Katalah unit anda berharga ratusan ribu (ketika ini), sudah pasti nilai aset baharu anda akan lebih daripada itu. Kami (Kerajaan MADANI) mahu membantu rakyat, kita akan terus adakan libat urus dengan rakyat, kita mahu mengkayakan rakyat,” katanya lagi.
Nga berkata demikian kepada sidang media sempena program Ekspedisi Akta PSB bersama Ahli-ahli Parlimen, di sini pada Selasa.
Terdahulu Ahli-ahli Parlimen dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara, pegawai kanan dan wakil Kementerian serta agensi, termasuk pengamal media telah dibawa menjelajah ke beberapa lokasi di ibu negara.
Sebanyak empat tapak perumahan telah dilawati, melibatkan kediaman bertingkat yang usang dan daif serta tapak skim kediaman yang telah berjaya dijalankan proses Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Program ini merangkumi lawatan ke empat lokasi utama melibatkan dua kategori kawasan iaitu kawasan yang usang, tidak selamat dan tidak kondusif untuk didiami; serta kawasan yang telah berjaya dibangunkan semula.
Empat lokasi PSB tersebut adalah Flat Sutera, Taman Desa Bakti, Selayang; dan Flat Taman Kuchai Jaya, Kuchai Lama, yang dikategorikan sebagai kawasan yang belum dibangunkan.
Dua lagi lokasi di bawah kategori kawasan PSB yang berjaya dibangunkan ialah 1Razak Mansion dan Residensi Kerinchi.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati kedua-dua lokasi pertama yang belum dibangunkan itu berada dalam keadaan yang sangat daif, tidak selamat, selain banyak disewakan kepada pekerja asing.
Sebahagian penduduk, khususnya pemilik unit berkaitan, memohon agar pembangunan semula kawasan tersebut dipercepatkan tanpa menunggu penguatkuasaan Akta PSB, yang dijadualkan akan dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada sesi Jun akan datang.
Sementara itu, Residensi Kerinchi dan 1Razak Mansion yang dibangunkan antara tahun 60-an dan 70-an dengan lingkungan harga RM20,000 hingga RM70,000 seunit, kini mempunyai nilai di antara RM214,000 hingga RM449,000 seunit, dengan keluasan dan kemudahan yang jauh lebih baik.
Media sebelum ini melaporkan, Akta PSB tersebut menggariskan syarat ambang persetujuan pemilik sebanyak 75 peratus bagi projek pembaharuan semula bangunan berusia lebih 30 tahun, berbanding keperluan 100 peratus ketika ini.
“Dengan pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar yang terancang, kita bukan sahaja mampu mengubah wajar perumahan usang, malah meningkatkan kualiti hidup rakyat serta nilai hartanah di kawasan tersebut.
“Kita berhasrat untuk membina komuniti yang lebih selesa, selamat dan sejahtera untuk masa depan,” kata Nga lagi.
