Skip to main content

Dunia

Trump dakwa keupayaan peluru berpandu Iran berkurang kepada sekitar 20 peratus

RC233LAMEJTX
Trump berkata walaupun Iran masih memiliki sejumlah peluru berpandu, jumlah tersebut jauh berkurangan berbanding sebelum ini. - Foto fail/REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Iran kini hanya mempunyai sekitar 21 hingga 22 peratus daripada keseluruhan keupayaan peluru berpandunya selepas tindakan ketenteraan AS yang didakwa “memusnahkan sepenuhnya” aset ketenteraan negara itu.

Dalam temu bual bersama program 'Meet the Press' terbitan NBC News, Trump berkata walaupun Iran masih memiliki sejumlah peluru berpandu, jumlah tersebut jauh berkurangan berbanding sebelum ini.

“Saya katakan dari segi peratusan, mungkin sekitar 21 atau 22 peratus daripada peluru berpandu mereka masih ada. Ia masih banyak, tetapi tidak seperti ketika kami mula melancarkan serangan,” katanya.

Bagaimanapun, dakwaan itu dilihat bercanggah dengan laporan agensi perisikan AS yang sebelum ini memaklumkan bahawa Iran masih mengekalkan sebahagian besar keupayaan ketenteraannya.

Menurut laporan yang dibentangkan kepada Kongres bulan lalu dan dipetik The New York Times, Iran dilaporkan telah memulihkan operasi di 30 daripada 33 tapak peluru berpandu di sepanjang Selat Hormuz.

Laporan itu turut menyatakan bahawa Tehran masih memiliki sekitar 70 peratus daripada stok peluru berpandu sebelum perang, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketepatan kenyataan oleh Trump.

Perbezaan penilaian tersebut berlaku ketika ketegangan antara Washington dan Tehran terus memuncak, dengan kedua-dua pihak saling melancarkan serangan dan tuduhan berkaitan keupayaan ketenteraan masing-masing.

Kenyataan terbaharu Trump itu dijangka menambah lagi perdebatan mengenai tahap sebenar kekuatan ketenteraan Iran serta keberkesanan operasi ketenteraan AS di rantau Asia Barat.
 

 

Must Watch Video

Advertisement