Skip to main content

Politik

Bubar DUN langkah terbaik kembalikan mandat kepada rakyat - Penganalisis politik

SEREMBAN, 4 Jun -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap kepada wartawan semasa sidang media khas di kediaman rasminya, hari ini.  Beliau berkata pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi itu diperkenankan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selepas sesi menghadap di Istana Besar Seri Menanti hari ini, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 yang akan diadakan selepas pembubaran berk
Keputusan Aminuddin Harun memohon pembubaran DUN, mungkin dibuat kerana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berpandangan kerajaan negeri perlu mempunyai sokongan yang menyeluruh, bagi memastikan pentadbiran dapat berjalan dengan lancar. - Foto fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, dilihat sebagai langkah terbaik bagi membolehkan rakyat menentukan kerajaan baharu yang mempunyai mandat jelas dan sokongan kukuh, untuk mentadbir negeri.

Kolumnis dan Penganalisis Politik Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata keputusan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun memohon pembubaran DUN, mungkin dibuat kerana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berpandangan kerajaan negeri perlu mempunyai sokongan yang menyeluruh, bagi memastikan pentadbiran dapat berjalan dengan lancar.

Beliau berkata sekiranya sesebuah kerajaan merasakan ia tidak lagi memperoleh mandat yang mencukupi, adalah lebih baik mandat itu dikembalikan kepada rakyat untuk membuat keputusan.

“Beliau (Aminuddin) merasakan perlu untuk sebuah kerajaan itu berjalan dengan lancar untuk mentadbir negeri dalam keadaan yang baik dan oleh kerana merasakan tidak mendapat mandat yang menyeluruh, maka adalah lebih baik DUN dibubarkan dan diberikan semula mandat itu kepada rakyat.

“Rakyat boleh menentukan pihak yang lebih baik untuk membentuk kerajaan baharu, yang mendapat mandat baharu serta sokongan padu daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), supaya kerajaan yang ada itu lebih utuh dan kukuh,” katanya kepada Bernama TV pada Jumaat.

DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi dibubarkan hari ini untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Perkara itu diumumkan Aminuddin pada sidang media khas di kediaman rasmi beliau malam tadi, selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sekali gus mengakhiri spekulasi pembubaran DUN sejak beberapa minggu lepas.

Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani berkata walaupun sesebuah institusi masih berfungsi, keadaan itu tidak wajar diteruskan jika kerajaan tidak mendapat sokongan yang jitu daripada ADUN.

Mengulas peranan kerajaan negeri selepas pembubaran DUN, beliau berkata kerajaan sementara mempunyai kuasa yang terhad dan hanya boleh meneruskan perkara yang telah diluluskan sebelum ini.

Beliau berkata kerajaan sementara tidak boleh membentangkan belanjawan baharu atau menambah peruntukan kepada mana-mana pihak sepanjang tempoh tersebut, sebaliknya hanya melaksanakan urusan pentadbiran sedia ada sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas pilihan raya.

Pada PRN ke-15, gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menguasai 31 daripada 36 kerusi DUN, dengan PH dan BN masing-masing memenangi 17 dan 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) dengan lima kerusi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement