KUALA LUMPUR: Beberapa frasa dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589) perlu dikaji semula bagi memberikan aspek perundangan yang lebih berkesan dalam menangani isu keselamatan siber negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata akta sedia ada telah wujud lebih 20 tahun, justeru membuktikan sudah masanya untuk SKMM memerlukan kuat kuasa undang-undang yang berpadanan dengan keadaan semasa.

Beliau berkata pengkajian juga penting jika negara mahu melahirkan keyakinan pengguna dan pelabur terhadap tahap keselamatan siber walaupun Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) telah meletakkan Malaysia di kedudukan kelima di dunia dalam aspek keselamatan siber, pada masa ini.

"Kalau kita nak jadikan Malaysia sebagai pusat digital di kalangan negara-negara ASEAN atau 'digital hub for ASEAN nation', kita mesti tingkatkan keyakinan dalam kalangan pengguna, selain daripada pelabur.

... dan satu aspek penting untuk mewujudkan keyakinan itu ialah keselamatan siber," katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Art In The City 2021 di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) di sini hari ini.

Annuar berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan boleh menguruskan data agensinya sendiri berbanding menggunakan perkhidmatan pihak ketiga, bagi mengelakkan berlaku isu kebocoran data.

Ini berikutan timbul dakwaan kononnya terdapat kebocoran data peribadi membabitkan beberapa agensi kerajaan baru-baru ini termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) namun dinafikan oleh pihak berkuasa.

Annuar berkata jika benar berlaku kes kebocoran data berkenaan ia seharusnya memberikan kesedaran untuk negara terus mempertingkatkan aspek keselamatan siber.

"Dalam kes ini, penyiasatan mendalam perlu dilakukan termasuk berkaitan kajian siber forensik bagi memahami situasi sebenar yang berlaku. Lagipun dari sudut keselamatan siber, ia merupakan sebahagian tanggungjawab Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia)," katanya.

Sementara itu Annuar berharap Kementerian Wilayah Persekutuan dapat bekerjasama dengan agensi di bawah kementeriannya seperti Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) bagi memberikan 'wajah baharu' kepada ibu negara Kuala Lumpur.



ANNUAR-AKTA SKMM 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Katanya ini termasuk merealisasikan cadangan untuk mewujudkan Zon Seni atau Arts Villages bagi memastikan Kuala Lumpur mempunyai "roh" atau nilai seni bagi menarik perhatian pengunjung.

"Sesebuah bandar akan menjadi bandar yang liveable (sesuai didiami) apabila diberi nilai seni budaya dan nilai kehidupan.

Kuala Lumpur bukanlah New York, Tokyo atau London. Kuala Lumpur adalah Kuala Lumpur, maka ia perlu diberikan roh dan seni budaya tetapi untuk merealisasikannya, kita perlu kerjasama dan muafakat daripada pelbagai pihak," katanya.

-- BERNAMA