KUALA LUMPUR:Penggemar aktiviti pendakian hari ini dikejutkan dengan pemergian aktivitis alam sekitar yang juga ahli pasukan misi menawan Gunung Everest 1997 R.Ramakrishnan.

Menurut rakannya Dilip Martin, mendiang meninggal dunia akibat serangan jantung malam tadi di Brinchang, Cameron Highlands pada usia 55 tahun.

Ramakrishnan pernah dianggap mempunyai kemampuan untuk menjadi pendaki negara pertama menawan puncak tertinggi dunia itu tetapi tidak mendapat pelepasan mendaki kerana 'frostbite' atau luka beku.

Sehingga nafas terakhir beliau, mendiang aktif sebagai Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH) selain merupakan ahli Malaysia International Search and Rescue (MISAR) serta Bomba dan Penyelamat Sukarela Malaysia (MVFRA).

Beliau juga merupakan rakyat Malaysia pertama menawan puncak Annapurna IV setinggi 7,525 meter di Nepal dan diletakkan dalam senarai pertama untuk tiba di puncak Everest.

Rakan sepasukannya dalam ekspedisi itu, Datuk M. Magendran, rakyat Malaysia pertama menakluk Everest, berkata Ramakrishnan merupakan seorang rakan yang berdedikasi dan berkebolehan.

"Beliau adalah pendaki yang amat berpengalaman. Semasa latihan pra-ekspedisi pada 1996, kira-kira 20 pendaki dalam kumpulan kami telah diasingkan kepada dua kumpulan, saya dalam kumpulan ke India manakala beliau dalam kumpulan ke Nepal.

"Beliau berjaya dalam usaha di Annapurna IV dan tampil sebagai yang pertama serta satu-satunya rakyat Malaysia yang menakluk puncak itu pada 1996. Malangnya, beliau mengalami kecederaan kaki dan luka beku, jadi terpaksa mendapatkan rawatan di Malaysia.

"Mendiang akhirnya berjaya menyertai kami di Kathmandu setelah mendapat pelepasan daripada doktor Malaysia namun gagal memperoleh permit daripada doktor di Nepal untuk mendaki. Saya amat positif beliau akan berjaya sampai ke puncak jika dibenarkan, beliau adalah seorang pendaki yang kuat serta aktif dalam aktiviti pendakian sehingga kini," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi wira Everest negara, Datuk N. Mohandas turut meluahkan rasa duka cita dengan pemergian Ramakrishnan, yang menurut beliau adalah individu yang mempunyai kekuatan fizikal dan mental, amat kental serta tidak mudah patah semangat.

-- BERNAMA