NATIONAL
Aktivis politik dakwa portal berita siar artikel palsu guna nama, gambar

Kata Amran, dia akan memfailkan tuntutan saman terhadap pihak yang bertanggungjawab serta menuntut permohonan maaf terbuka. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang juga aktivis politik, Amran Ahmad membuat laporan polis berhubung penyiaran artikel palsu yang disiarkan oleh sebuah portal berita, yang didakwa secara tidak sah menggunakan nama dan gambarnya.
Ringkasan AI
- Amran Ahmad membuat laporan polis berhubung artikel palsu yang menggunakan nama dan gambarnya, yang didakwa bertujuan menjatuhkan reputasinya dengan memaparkan pujian melampau terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
- Amran menafikan sekeras-kerasnya menulis artikel tersebut, menyatakan ia adalah pemalsuan identiti yang mencetuskan kecaman di media sosial, dan kini sedang mendapatkan nasihat perundangan untuk tindakan lanjut.
- Portal berita tersebut mengakui berlaku kesilapan teknikal pada nama penulis, menjelaskan bahawa artikel itu sebenarnya ditulis oleh Ahmad Amran, bukan Amran Ahmad.
"Ia adalah satu pemalsuan identiti dan cubaan untuk menjatuhkan reputasi serta memperdaya pembaca seolah-olah saya telah beralih sokongan kepada DAP,” kata Amran dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jelasnya, tindakan portal berita itu didakwa mengakibatkan dia menerima kecaman hebat di media sosial dan mengalami tekanan emosi susulan penghinaan serta tohmahan yang dilemparkan.
Amran juga memaklumkan sedang mendapatkan nasihat perundangan untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap portal berkenaan atas dakwaan fitnah dan pencemaran nama baik.
“Saya tidak akan berdiam diri. Ini bukan sahaja soal maruah peribadi, tetapi juga integriti dunia kewartawanan yang telah lama saya perjuangkan,” katanya.
Kata Amran, dia akan memfailkan tuntutan saman terhadap pihak yang bertanggungjawab serta menuntut permohonan maaf terbuka dan penarikan semula artikel berkenaan.
Sementara itu, portal dalam kemas kini pada 26 April memaklumkan berlaku kesilapan teknikal pada nama penulis artikel.
Jelasnya, artikel tersebut ditulis oleh Ahmad Amran dan bukannya oleh Amran Ahmad.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami