PUTRAJAYA: Sebarang aktiviti di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Tasik Bera, yang diwartakan sebagai Tapak Ramsar harus dilaksanakan dengan mematuhi prinsip wise use yang menjadi panduan utama di bawah Konvensyen Ramsar.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata aktiviti penerokaan, penebangan dan pertanian tanpa kebenaran perlu ditangani secara berhemah, serta berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa bagi mengelakkan kesan terhadap keseimbangan ekosistem serta habitat hidupan liar.
"Hutan Simpan Pemuliharaan Tasik Bera telah diwartakan sebagai HSK pada 30 Ogos 2007 di bawah Seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313].
"Tasik Bera telah diiktiraf sebagai Tapak Ramsar pada 1994 dan mempunyai kepentingan ekologi dan kepelbagaian biologi tanah lembap pada peringkat antarabangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Arthur berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) selaku pihak yang bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan komitmen negara di bawah Konvensyen Ramsar sentiasa memberikan perhatian terhadap usaha pemuliharaan kawasan tanah lembap itu.
Beliau berkata pihaknya turut menyokong tindakan penguatkuasaan bersepadu oleh kerajaan negeri Pahang terhadap aktiviti penerokaan tanpa kebenaran, yang didakwa melibatkan kawasan seluas lebih 2,212 hektar di dalam kawasan HSK berkenaan.
"Pelaksanaan operasi ini juga mengambil kira keputusan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-79 pada 2 Dis 2021, yang antara lain menekankan kepentingan tindakan penguatkuasaan oleh kerajaan negeri bagi menangani aktiviti penerokaan tanpa kebenaran dalam HSK berdasarkan peruntukan Akta 313," katanya.
Arthur berkata NRES menghormati bidang kuasa kerajaan negeri dalam pengurusan dan pentadbiran HSK, dan akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras pada peringkat Persekutuan dalam memperkukuh kerjasama strategik.
Pengukuhan kerjasama strategik itu untuk memastikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dilaksanakan secara berkesan.
Kerjasama itu penting dalam menyokong komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 untuk mengekalkan sekurang- kurangnya 50 peratus kawasan tanah negara dilitupi oleh kawasan berhutan dan pokok-pokok.
Sehubungan dengan itu, Arthur berkata Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia akan memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang, dan agensi berkaitan dalam aspek penyelarasan dasar, khidmat nasihat teknikal, pemantauan serta usaha pemuliharaan kawasan hutan yang terjejas.
Sejak 14 Sept lepas, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) melaksanakan operasi penguatkuasaan dan pemetaan bersepadu selepas mengesyaki kawasan HSK Tasik Bera diteroka secara haram untuk tanaman komersial seperti kelapa sawit dan getah.
UPNP mengesyaki terdapat sindiket haram dari luar Pahang yang memanipulasi masyarakat Orang Asli untuk membuka kawasan tanah secara besar-besaran dengan berselindung di sebalik alasan tanah adat dan kawasan rayau masyarakat itu.
-- BERNAMA