Semua aktiviti peluncur layar di Gunung Jerai, Kedah dihentikan sementara, berikutan dua peluncur layar maut selepas payung terjun mereka tersangkut pada pokok di gunung itu pada Ahad.

Exco Kerajaan Kedah, Datuk Badrolhisham Hashim berkata, aktiviti peluncur layar itu ditutup sejak kejadian itu berlaku, 9 Ogos lalu, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kejadian itu.

"Penutupan tapak terjunan tersebut dibuat serta merta bagi membolehkan pihak polis menjalankan siastan berhubung kejadian malang tersebut dan sesiapa tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti di kawasan tersebut.

"Tetapi kerajaan negeri merasakan sukan lasak ini patut diteruskan kerana ia melibatkan kes terpencil di mana sebelum ini ramai penerjun telah melakukan terjunan di kawasan tersebut tanpa kemalangan jiwa," katanya mengulas kejadian dua peluncur layar maut ketika melakukan aktiviti sukan ekstrem itu pada Ahad.

Badrolhisham menasihati para peluncur layar supaya memberi memberi penekanan kepada aspek-aspek keselamatan, terutama mengambil kira arah pergerakan angin dan kelajuan, serta peralatan yang digunakan agar ia betul-betul selamat.

Menurutnya, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama Persatuan Paragliding, Jabatan Perhutanan Kedah, Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk melihat semula aspek-aspek keselamatan sukan ekstrem itu, bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

"Sehingga siasatan ini dijalankan sebarang aktiviti paragliding di sini hendaklah ditutup dan saya akan tengok balik dan akan berbincang dengan pihak pihak tertentu seperti bomba Jabatan Hutan dan sebagainya.

"Bagi saya paragliding ni ialah sukan yang baik dan kita wajar untuk teruskan tetapi kita kena tengok balik sudut dan keselamatan yang kita perlu kita teliti semula," ujarnya.


Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Hazlan Ismail, 32 dan Liang Chong Kee, 52 dari Kelab Luncur Udara Indera Kayangan, Perlis maut selepas dipercayai gagal mengawal peluncur layar yang dinaiki, sebelum ia terhempas di kawasan cerun Gunung Jerai.

Mereka mengalami kecederaan parah di kepala dan maut di tempat kejadian.