Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kebangsaan menyangkal keras wujudnya aktiviti pemerdagangan organ manusia di negara ini terutama membabitkan kanak-kanak sebagaimana disebarkan di media sosial kebelakangan ini.

Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau laporan berhubung kes penculikan kanak-kanak untuk mendapatkan organ.

"Saya sendiri telah menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai perkara itu dan diberi jaminan pihak berkenaan bahawa kegiatan haram itu tidak berlaku seperti yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp, sistem pesanan ringkas (SMS), Facebook dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Roadshow Promosi Pendermaan Organ Kebangsaan 2016 peringkat negeri Terengganu di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Pengurus Perolehan Transplan Kebangsaan, Pusat Sumber Transplan Nasional Datin Dr Fadhilah Zowyah Lela Yasmin Mansor dan Pengerusi Pasukan Perolehan Transplan (TOP) Datuk Dr Aisai Abdul Rahman.

Dalam pada itu Lee berkata, berdasarkan perangkaan Pusat Sumber Transplan Nasional sejak 1997 hingga Oktober tahun ini, seramai 367,570 orang telah berikrar untuk menderma organ.

Katanya perkembangan itu mencatatkan peningkatan 130 peratus berbanding 159,701 pengikrar pada tahun 2010 manakala jumlah pengikrar kalangan orang Melayu juga meningkat sebanyak 318 peratus iaitu seramai 107,709 orang berbanding 25,751 orang pada 2010.

Beliau turut merakamkan setinggi tahniah kepada Terengganu kerana mencatatkan jumlah pengikrar paling ramai selama tiga tahun berturut-turut dengan tahun ini seramai 3,368 orang yang mendaftar untuk pendermaan organ.

-- BERNAMA