KUALA LUMPUR: Aktiviti perladangan yang diusahakan berhampiran penempatan Orang Asli di Johor dibuat atas usaha Orang Asli sendiri, bukan hasil eksploitasi pihak lain.

Namun, Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) mengalu-alukan kehadiran pihak berkuasa sekiranya ingin menyiasat sama ada wujud unsur eksploitasi.

“Tuduhan mengatakan Orang Asli dieksploitasi untuk membuka ladang di hutan simpan adalah tidak benar kerana kami adalah kaum yag hidup dengan tanah atau bertani dari dahulu kala maka keinginan untuk berkebun bukan kerana hasutan orang luar tetapi atas kesedaran sendiri,” kata pengerusinya Dolah Tekoi.

Ketika dihubungi Astro AWANI, beliau bagaimanapun mengakui bahawa wujudnya konflik apabila tanah hutan simpan negeri digunakan oleh masyarakat Orang Asli, walaupun ia tidak diiktiraf sebagai tanah adat mereka.

"Hutan-hutan ini adalah tanah adat bagi kami kerana ia memang diguna sejak turun temurun sebagai tempat mendapatkan sumber penting seperti perubatan tradisi, upacara keagamaan, makanan, memburu, mencari hasil hutan dan sebagainya,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya mengiktiraf tanah adat Orang Asli berdasarkan peta yang dirangka oleh masyarakat itu sendiri.

Dolah turut tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengubah status tanah-tanah Orang Asli di Johor menjadi Tanah Kesultanan kerana ia sudah dilindungi bawah Akta Orang Asli dan Kanun Tanah Negara.

Tambahnya, semua pihak berpuas hati dengan peruntukan semasa dalam rangka undang-undang itu yang sudah lama diamalkan baik di negeri Johor mahupun di seluruh negara.

Pada Mac lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah mencadangkan tanah-tanah Orang Asli di negeri itu dijadikan Tanah Kesultanan bagi mengelakkan Orang Asli diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.