Dua wanita masing-masing didenda sebanyak RM5,000 kerana melacurkan diri pada September lalu.

Tertuduh, Nurul Amalina Abd Malek, 25, dan Norshamimi Zakaria, 29, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Kedua-dua tertuduh juga turut berdepan lima bulan penjara jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, mereka didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan pada 30 September lalu.

Perbuatan itu dilakukan di bilik berasingan di sebuah hotel di Batu Buruk, Kuala Terengganu sekitar jam 9 dan 10.30 malam.


Kedua-dua wanita itu dikatakan mencari pelanggan dan menawarkan khidmat seks menerusi aplikasi media sosial.

Pertuduhan dilakukan mengikut seksyen 372b Kanun Keseksaan kerana menawarkan perkhidmatan seks.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full.