KUALA LUMPUR:Sekolah-sekolah swasta berteraskan Islam dan berasaskan kurikulum bahasa Inggeris bakal beroperasi di bawah satu panji menerusi inisiatif di bawah Al-Hamra Integrated School (Al-Hamra).

Sekolah terkemuka berteraskan pembelajaran holistik Islam melalui kurikulum bahasa Inggeris itu bakal digabungkan bersama sekolah Islam lain di bawah payung organisasi Awqaf Holdings Berhad.

Ia selepas satu perjanjian ditandatangani melibatkan Pengerusi Awqaf Holdings Berhad, Tan Sri Siti Sa’diah Sheikh Bakir dan Pengerusi IHES Endowment Development Berhad, Prof Dr Hasni Mohammed untuk menggunakan Integrated Holistic Education System (IHES) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di sekolah-sekolah di bawah naungan Awqaf Holdings.

Penggabungan bersama Al-Hamra yang membelanjakan lebih RM6 juta untuk mengubah suai sekolah dilihat bakal menerajui pendidikan berteraskan Islam berprestij yang lebih kukuh dan dapat memenuhi permintaan ibu bapa yang mencari pendidikan berteraskan kurikulum antarabangsa dan nilai-nilai Islam.

Timbalan Pengerusi Awqaf Holdings Berhad, Mohammad Sahar Mat Din berkata kajian menunjukkan permintaan tinggi terhadap pendidikan antarabangsa berteraskan nilai murni Islam di kalangan masyarakat bagi memupuk bakal pemimpin masa depan.

"Kerjasama ini bertujuan memastikan sekolah-sekolah swasta berteraskan Islam berasaskan kurikulum bahasa Inggeris ini beroperasi di bawah satu panji.

"Dengan penggabungan kepakaran dan sumber-sumber lain, kemampuan Al-Hamra untuk memberikan pendidikan Islam yang menyeluruh dapat diperkasakan.

"Penggabungan ini juga akan melahirkan institusi yang lebih besar dan mantap dengan penggunaan kerangka IHES yang menawarkan sukatan pelajaran Cambridge dan pembelajaran Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kurikulum tambahan yang canggih merangkumi robotik, aritmatik mental dan bahasa Mandarin serta kegiatan kokurikulum seperti memanah dan silat diseliakan kakitangan yang berwibawa di bawah pimpinan pengetua tersohor Sheikh Gabriel Keresztes.

Justeru katanya, dengan penyatuan sekolah-sekolah ini, satu sistem sekolah baharu dilengkapi dengan kemudahan moden di bawah Awqaf Holdings akan diwujudkan sekali gus memastikan penyediaan peluang pendidikan holistik untuk generasi akan datang, selaras dengan Dasar Pendidikan Nasional.