KOTA KINABALU: Etnik di Sabah khususnya masyarakat Kadazandusun dan Murut yang beragama Islam kini boleh lebih memahami ayat-ayat suci al-Quran dalam bahasa ibunda melalui al-Quran terjemahan dalam bahasa Dusun.

Terjemahan al-Quran ke dalam bahasa Dusun itu telah dicetak sebanyak 10,000 naskah dan diedarkan secara percuma.

Pengerusi Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim SeMalaysia (KDMRS Muslim) Nicholas Sylvester berkata ia terjemahan al-Quran ke dalam bahasa Dusun yang pertama di dunia dan sebanyak 50,000 naskah lagi akan dicetak yang dijangka memberi manfaat kira-kira 600,000 masyarakat KDRMS di Sabah.

Nicholas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KDMRS Muslim berkata usaha itu bermula sejak 20 tahun lalu dan idea menterjemah tercetus ketika beliau ke kawasan pedalaman untuk kerja-kerja dakwah dan terdapat ceramah yang dijalankan menggunakan bahasa Dusun.

"Kita lihat kepada keperluan dan mencari orang paling layak menterjemahkannya (al-Quran) kita jumpa (orangnya) yang bahasa Dusun paling standard digunakan dalam Radio Televsiyen Malaysia (RTM) serta ko-kurikulum pengajaran sekolah iaitu (dialek) 'bunduliwan'," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran al-Quran terjemahan itu di sini semalam.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam dan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad.

Nicholas berkata pasukan penterjemah bahasa Dusun diketuai oleh Dr Joseph@Yusof Gimbad, Ustaz Naim Majin, Ustaz Sulaimin Musinin dan Ustaz Esibi Lakui, sekali gus mereka juga menjadi pembantu pemudah cara untuk projek menterjemah empat bahasa etnik lain iaitu Kadazan, Murut, Rungus dan Sungai.

"Dalam proses menterjemahkan al-Quran ini, kita memberi penekanan iaitu terjemahan secara langsung daripada bahasa Arab terus kepada bahasa Dusun untuk ketepatan makna dalam bahasa Dusun," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa menambah baik usaha untuk membantu kefahaman Islam yang sebenar dalam kalangan masyarakat KDMRS.

-- BERNAMA