KUALA LUMPUR: Susulan penularan gambar yang mendakwa penjualan ‘alas pintu’ bergambarkan Kaabah, pengurusan AEON BiG (M) Sdn Bhd menegaskan ia sebenarnya adalah sejadah mini untuk kegunaan umat Islam.

Dalam satu kenyataan media pada Sabtu, ia berkata, perkara itu merupakan salah faham, dan pihaknya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Katanya lagi, pembekal yang terlibat, A&R Fashion Collection (“A&R”), merupakan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) milik 100% Bumiputera/Islam yang membekalkan pakaian Muslimah patuh syariah seperti jubah solat, tudung, kurta, sampin, songkok, serta produk lain seperti sejadah, permaidani, dan tikar.

“Mereka (syarikat itu) telah ditubuhkan pada 2007 dan telah menjadi pembekal kami sejak 2015. A&R juga merupakan pembekal kepada peruncit lain, serta mengendalikan kedai mereka sendiri.

“A&R telah mengesahkan bahawa produk berkenaan sememangnya merupakah sejadah mini, di mana coraknya adalah dalam format menegak yang merupakan amalan biasa. Walau bagaimanapun, selaras dengan amalan terbaik AEON BiG untuk pembekal PKS, A&R telah menggunakan kod barangan dalam sistem yang sebelum ini digunakan untuk produk-produk lain syarikat tersebut.

“Akibatnya, label yang digantung pada produk menunjukkan pelbagai deskripsi lantas terus menyebabkan kekeliruan. Perkara ini telah diperbetulkan serta-merta dalam sistem pengurusan barangan AEON BiG dan deskripsi barangan tersebut sebagai “Sejadah” telah pun dicerminkan,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah merampas sebanyak 11 produk berkenaan yang tertera gambar Kaabah, yang dijual di sebuah pasar raya di daerah ini, Selasa lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata tindakan itu dilakukan susulan aduan orang awam.

Beliau berkata pihak pengurusan pasar raya terbabit juga sudah dipanggil bagi memberi keterangan selain diberi amaran supaya lebih berhati-hati terhadap produk jualan supaya tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.

Dalam pada itu AEON BiG berkata, kedua-dua pihak pengurusan berharap bahawa kenyataan bersama itu akan menjelaskan sebarang keraguan mengenai isu ini.

“Kami berharap agar spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat kita yang berbilang kaum akan dihentikan.

"AEON BiG dan A&R akan terus bekerjasama dengan JAINJ dan mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut yang diperlukan,” menurut kenyataan itu lagi.