Skip to main content

Malaysia

ALC-27: Malaysia, Brunei guna mekanisme ASEAN tangani isu jerebu - PM Anwar

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia dan Brunei Darussalam bersetuju memanfaatkan mekanisme ASEAN bagi memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara, termasuk dalam menangani isu jerebu yang melanda rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Menteri Luar dan menteri berkaitan telah diminta mengambil langkah susulan dengan Sekretariat ASEAN bagi menggunakan mekanisme terbaik yang tersedia di peringkat serantau.

“Kedua-dua kita bersetuju supaya menggunakan mekanisme ASEAN yang terbaik. Ini kita minta Menteri Luar, menteri yang berkenaan, kita dah buat surat kepada Sekretariat ASEAN,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua yang ditandatangani dalam Mesyuarat Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 (ALC-27) turut bersetuju memperkukuh kerjasama pengurusan bencana termasuk usaha menangani jerebu.

“Yang kedua ialah tentang MoU kerjasama pengurusan bencana, terutama dalam keadaan sekarang di mana kita terjebak dengan permasalahan jerebu. Jadi kita tingkatkan bidang kerjasama dalam bidang itu,” katanya.

Kerjasama berkenaan dijangka memperkukuh penyelarasan antara agensi kedua-dua negara dalam pengurusan dan tindak balas terhadap bencana serta isu rentas sempadan yang memberi kesan kepada Malaysia dan Brunei.

Setakat jam 3 petang Sabtu, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di IPD Serian mencatatkan bacaan tidak sihat 196, Kuching (188); Samarahan (178); Sri Aman (175); Sarikei (174); Sibu (162) Bintulu (157); Mukah (157); Samalaju (155) dan Miri (143) serta Semenanjung Malaysia di Bukit Rambai, Melaka 152.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Indonesia menerusi kemas kini terbaharu di Instagram memaklumkan pemantauan satelit Terra/Aqua NASA mengesan 56 titik panas berkeyakinan tinggi di Kalimantan Tengah, 51 di Kalimantan Barat dan 19 di Kalimantan Selatan setakat 9.30 malam waktu tempatan pada Jumaat.

Kementerian itu, memetik pemantauan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), memaklumkan beberapa kawasan di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah mengalami kualiti udara sangat tidak sihat.
 

Must Watch Video

Advertisement