Pelabur asing terus menjual ekuiti Malaysia pada minggu lepas yang berjumlah RM456.09 juta dari Isnin hingga Khamis berbanding aliran keluar RM237.33 juta antara 6 dan 9 Mac apabila keadaan tidak menentu berterusan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelabur runcit mencatatkan jualan bersih sebanyak RM97.75 juta berbanding belian bersih RM229.56 juta yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

“Sementara itu, institusi tempatan merupakan pembeli utama bagi minggu tersebut dengan merekodkan pembelian bersih sebanyak RM442.22 juta. Pasaran ekuiti nampaknya tidak mempertimbangkan data ekonomi lemah dari Amerika Syarikat (AS).

“Kemerosotan jualan runcit AS pada Mac, tuntutan pengangguran yang lebih tinggi daripada dijangkakan pada minggu lepas dan penurunan sentimen perniagaan dalam kaji selidik baru-baru ini nampaknya tidak diambil kira buat masa ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata, prospek kurang memberangsangkan yang dikongsi oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai keadaan ekonomi global dan penurunan mendadak permintaan minyak global oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) nampaknya tidak menjejaskan sentimen pasaran.

“Barangkali, penurunan bilangan kes jangkitan baharu COVID-19 memberi harapan ekonomi akan dibuka semula tidak lama lagi. Bagaimanapun, keadaan tidak menentu masih ketara.

“Vaksin atau antibodi bagi virus itu masih belum ditemui setakat ini. Pakar-pakar kesihatan juga tidak menggalakkan ekonomi dibuka terlalu awal. Oleh itu, pelabur asing akan terus berhati-hati, lebih memilih aset selamat,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) jatuh mendadak minggu ini.

“Setakat semalam, hasil MGS 10 tahun turun sebanyak 31 mata asas daripada paras minggu sebelumnya. Hasil MGS 10 tahun berada pada 3.06 peratus pada Khamis,” katanya.

Pada Jumaat, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 20.81 mata atau 1.5 peratus kepada 1,407.34 daripada 1,386.53 pada Khamis.

Indeks tempatan itu meneruskan kenaikannya untuk ditutup tinggi pada minggu yang baru berakhir ini disokong oleh momentum belian berterusan dalam kaunter berkaitan indeks di tengah-tengah sentimen pasaran yang positif susulan penurunan kes COVID-19, yang membawa kepada prospek pemulihan ekonomi global. - BERNAMA