Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muadzam Shah selamat disemadikan di Makam Diraja Pekan, di sini pada 4.35 petang ini.

Jenazah Almarhum disemadikan bersebelahan pusara isteri baginda Tengku Ampuan Pahang Tengku Afzan Tengku Muhammad, yang mangkat pada 29 Jun, 1988.

Suasana sayu menyelubungi Makam Diraja semasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatudin Al-Mustafa Billah Shah dan adinda baginda Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman masing-masing meletakkan batu nesan di pusara ayahanda berdua.

Turut kelihatan di Makam Diraja itu, Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob

Usai istiadat pemakaman, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman membacakan talkin. Beliau terdahulu mengetuai solat jenazah terakhir buat Almarhum yang diadakan di Masjid Sultan Ahmad Shah, yang terletak bersebelahan makam.



Solat jenazah itu disertai kaum kerabat Pahang, pembesar negeri, barisan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan ribuan rakyat yang mengambil peluang untuk mengucapkan 'salam terakhir' kepada sultan yang terkenal dengan sikap pemurah dan amat kasih kepada rakyat.

Almarhum Sultan Ahmad Shah, 88, yang juga Sultan Pahang Kelima dan pernah memegang tampuk pemerintahan negeri Pahang selama 45 tahun, mangkat di Institut Jantung Negara pada pukul 8.50 pagi semalam.

Al-Sultan Abdullah sebelum itu berangkat tiba di Balairung Sri Istana Abu Bakar pada 10.40 pagi, dengan diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Sultanah Hajah Kalsom kemudian menerima ziarah penghormatan terakhir daripada orang kenamaan yang terdiri daripada Raja-Raja Melayu, kerabat diraja, dan pemimpin peringkat negeri dan pusat bermula pukul 11 sehingga pukul 1.10 petang.

Selain Sultan Hassanal Bolkiah dan Sultan Ibrahim yang ditemani Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail, turut berangkat menziarahi Almarhum ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha binti Almarhum Tengku Ariff.



Turut berangkat ialah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra. Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan Tun Abdul Taib Mahmud (Sarawak) yang ditemani pasangan masing-masing.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Siti Hasmah pula tiba 11.05 pagi untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum selain Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Jenazah Almarhum yang ditempatkan di persada di tengah-tengah Balairung Seri Istana Abu Bakar juga tidak putus-putus diziarahi rakyat Pahang sejak 11 malam tadi sehingga sesi ziarah orang awam ditamatkan pada 10.30 pagi.

Jenazah Almarhum kemudian diusung keluar dari Balairung Seri pada pukul 1.45 tengah hari oleh pasukan tentera darat, laut dan udara Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menaiki van jenazah pada pukul 2.20 petang.

Setelah sempurna diletakkan di dalam kenderaan berkenaan, kawalan kehormat memberikan Hormat Diraja sebagai penghormatan kali terakhir Almarhum diikuti lagu Negeri Pahang. 'Allah Selamatkan Sultan Kami'.



Setelah selesai, kawalan kehormat memberikan 'tafakur junam senjata' sebelum kenderaan berkenaan mula bergerak meninggalkan perkarangan Istana Abu Bakar pada pukul 2.35 petang.

Sultan Abdullah dan anakanda bongsu Almarhum Tengku Arif Temenggong Tengku Abdul Fahd Mu'adzam Shah turut menaiki kenderaan berkenaan untuk menemani perjalanan terakhir Almarhum ke Masjid Sultan Ahmad Shah.

Seramai 75 orang yang terdiri pegawai dan anggota Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia mengetuai pergerakan van jenazah berkenaan diikuti kumpulan jejawat, kadi serta pegawai agama Istana serta masjid negeri.

Serentak dengan itu juga tembakan meriam sebanyak 88 das dilepaskan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh di Selangor bersempena usia Almarhum Baginda, sebagai simbolik mengiringi pemergian Baginda untuk istiadat pemakaman.

Cuaca panas terik tidak menghalang ribuan rakyat berdiri di kiri dan kanan jalan sepanjang 2.2 kilometer untuk mengucapkan 'selamat tinggal' kepada seorang raja yang amat disayangi yang cukup terkenal dengan sifat merendah diri dan menjadi bukti kepada pepatah 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada'.

-- BERNAMA