TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) dengan pembinaan struktur glob terbesar di kawasan Pusat Taman Laut Pulau Redang, Terengganu.

Struktur terumbu glob itu mempunyai ketinggian tiga meter dengan berat melebihi 1 tan serta kedalaman 11 meter.

Ia diturunkan oleh 10 alumni UPSI diketuai Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff yang juga alumni institut pendidikan itu.

Menerusi satu kenyataan Md Amin berkata, sebagai institusi pendidikan keramat, UPSI terbina daripada sebuah semangat perjuangan pendidikan.

“Ini adalah untuk membuktikan kecintaan kami para alumni terhadap universiti bertuah kami,“ katanya pada majlis penerimaan sijil pengiktirafan daripada MBOR itu di Pulau Redang, semalam.


Md Amin (tengah, kanan) menerima sijil Malaysia Book of Records yang disahkan pegawai pengesah rekod sambil disaksikan Norkhalid (tujuh, kanan) dan Siti Hartini (empat, kanan) di Taman Laut Pulau Redang. - Foto UPSI


Kumpulan penyelam alumni UPSI berjaya menempa nama di Malaysia Book of Records. - Foto UPSI


Para penyelam Alumni UPSI bersama struktur terumbu glob terbesar di Taman Laut Pulau Redang. - Foto UPSI

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, dengan adanya struktur terumbu tersebut akan membantu Jabatan Perikanan dalam usaha pemuliharaan terumbu karang di Taman Laut.

Menurutnya, terumbu karang di kawasan itu pernah musnah akibat dilanda Taufan Pabuk sekitar Januari 2019.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UPSI Dr Siti Hartini Azmi berkata, usaha alumni terbabit juga akan mengharumkan nama universiti.