MELAKA: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang sah menyaksikan pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 selepas empat calon disahkan layak bertanding pada hari penamaan calon, hari ini.
Persaingan itu menyaksikan calon daripada empat parti politik bakal berentap bagi merebut mandat pengundi di kawasan berkenaan, sekali gus menjadikan Klebang antara kerusi yang menarik untuk diperhatikan dalam pilihan raya kali ini.
Antaranya Pengerusi MCA Melaka, Datuk Lim Ban Hong yang sekali lagi sah mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRN lalu.
Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ainu Nizla Kasman, selepas tamat tempoh penyerahan borang pencalonan pada jam 10 pagi.
“Saya telah menyemak kertas penamaan dan setelah selesai menyemak saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak,”katanya
Ban Hong bakal dicabar tiga lagi calon iaitu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Bersatu), Young Jie Yu (Bersama) dan Farzana Hayani Mohd Nasir (Pakatan Harapan).
Dengan persaingan melibatkan empat penjuru, tumpuan kini terarah kepada keupayaan setiap calon menguasai sokongan pengundi, khususnya dalam tempoh kempen yang bakal bermula selepas proses penamaan calon selesai.
Pada PRN Melaka 2021, Ban Hong memenangi kerusi DUN Klebang dengan 5,028 undi, menewaskan calon PKR, Datuk Gue Teck dengan 4,152 undi dan calon PN, Bakri Jamaluddin yang memperoleh 3,884 undi.
SPR menetapkan 10 November ini bagi tarikh pengundian awal, manakala 14 November sebagai hari pengundian.
PRN Melaka ke-16 menyaksikan sebanyak 28 kerusi DUN dipertandingkan, dengan pengundi bakal menentukan barisan kepimpinan kerajaan negeri bagi penggal seterusnya.