KUALA LUMPUR: Filem Kudrat 1968: High Council terus mencetuskan fenomena apabila berjaya mencatat kutipan terkumpul sebanyak RM6.5 juta, termasuk tayangan awal dan dua hari tayangan rasmi sejak ditayangkan di pawagam pada 29 Oktober lalu.
Pencapaian tersebut sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan francais High Council sebagai antara jenama hiburan tempatan paling berpengaruh dan mendapat sambutan besar dalam kalangan penonton Malaysia.
Selain prestasi memberangsangkan di pawagam, filem arahan Zulaikha Zakaria dan Khairi Asyraff itu turut menjadi bualan hangat di media sosial.
Tumpuan penonton banyak terarah kepada lakonan enam teraju utama yang terdiri daripada Zarif Ghazzi sebagai Abbas, Mierul Aiman sebagai Kuda, Akmal Asyraf sebagai Piji, Dai Fuad sebagai Pa, Evertts Gomes sebagai Ghafar dan Chech Harith sebagai Mazli.
Keserasian serta penghayatan watak yang dipersembahkan barisan pelakon berkenaan menerima pujian ramai dan mencetuskan pelbagai reaksi positif dalam kalangan peminat.
Astro Shaw menerusi kenyataan merakamkan penghargaan kepada penonton Malaysia serta peminat setia Kudrat atas sokongan luar biasa yang diberikan sejak siri premium itu diperkenalkan sehingga diterjemahkan ke layar perak.
Menurut syarikat penerbitan itu, sambutan diterima membuktikan karya tempatan mampu mencipta fenomena tersendiri selain membina komuniti peminat yang kukuh.
Kudrat 1968 turut tampil dengan pendekatan penceritaan unik menerusi konsep “One Story, Two Formats”, yang menggabungkan empat episod siri premium bersama sebuah filem layar lebar.
Selain barisan pelakon utama, filem tersebut turut menampilkan beberapa pelakon lain yang menghidupkan perjalanan cerita yang menjadi kesinambungan kepada dunia High Council.
Kudrat 1968: High Council kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara.