SIK: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan bahawa kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) bagi melakukan siasatan berhubung video yang didakwa mengandungi amalan khurafat di Gunung Jerai yang tular beberapa hari lalu di media sosial.

Menurutnya, setiap aktiviti atau perbuatan yang dilakukan, di atas gunung berkenaan adalah bergantung kepada niat masing-masing dan beliau tidak boleh menjatuhkan hukum sama ada perbuatan berkenaan adalah berbentuk khurafat atau tidak.

Tambah beliau, semua pihak juga perlu memahami bahawa perbuatan 'mungkar' atau 'khurafat' yang salah di sisi agama Islam tidak semestinya dilakukan di atas Gunung Jerai itu sahaja, bahkan didapati 'kemungkaran' yang berlaku 'di bawah' lebih banyak.

"Mandi tak khurafat okay sahaja, macam mandi Telaga Tok Sheikh, Gunung Jerai dan di rumah sama sahaja, dua-dua pakai air, niat itu (yang penting sebenarnya), (kalau niat) sahaja aku mandi, mandi saja-saja, dua-dua (itu) boleh.

"Saya rasa ada (beberapa) perkara (atau aktiviti) yang atas gunung Jerai tu, ada orang naik bertapa, ada naik melakukan rekreasi, ada kata air telaga boleh buat ubat, saya serah kepada pihak berautoriti untuk siasat. Ada orang cari batu cincin, (nak) jual dekat saya, semua itu kena pihak berautoriti (siasat)," katanya.

BACA: JHEAIK siasat video berkaitan khurafat di Gunung Jerai

Sanusi berkata demikian ketika ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di Dewan al-Hana, di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, beliau mengharapkan agar isu video tular berkenaan dapat menjadi titik tolak untuk mempromosikan lokasi-lokasi pelancongan menarik di negeri Kedah khususnya di kawasan Gunung Jerai itu sendiri.

Ini kerana, menurutnya, lokasi berkenaan bukan sahaja mempunyai pemandangan yang sangat cantik bahkah sesuai untuk dikunjungi seisi keluarga.

Pada Ahad, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) memaklumkan bahawa sedang menyiasat satu video yang tular berkenaan amalan dikatakan khurafat dilakukan di atas Gunung Jerai, Yan baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata pihaknya telah menerima aduan daripada orang ramai berhubung video yang berdurasi selama satu minit itu.

Tambah beliau, JHEAIK amat memandang berat dan sedang menyiasat aduan tersebut mengikit Seksyen 4 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 atas kesalahan doktrin palsu dan menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam.