Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah amalan tauhid perlu menjadi dasar serta prinsip sesebuah negara kerana ia membolehkan nilai-nilai keadilan dan persaudaraan dihayati sepenuhnya.

Baginda bertitah dengan berpegang kepada amalan tauhid, manusia akan insaf bahawa mereka adalah hamba Allah, maka tidak harus ada sifat ketuanan, riak, angkuh dan takbur.

"Dengan meletakkan diri sebagai hamba Allah, rasa persamaan ini akan menanam semangat persaudaraan yang penuh dengan kasih sayang," titah baginda pada majlis sambutan Maal Hijrah 1438H/2016M peringkat negeri Perak di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sultan Nazrin turut bertitah agar rahmat yang dikurniakan kepada rakyat dan negara ini perlu disyukuri, diiringi dengan ketaatan terhadap syariat Islam serta mengelak daripada kesesatan.

"Sekiranya tersasar dan berada dalam kesulitan, selusurilah kembali sinar petunjuk kebenaran yang terpelihara melalui al-Quran dan sunnah Rasulullah.

"Berdoalah kepada Ilahi agar kuasa pemerintahan diamanahkan kepada kalangan hamba-Nya yang amanah, jujur supaya ummah dapat hidup dalam sejahtera, aman dan makmur," titah baginda.

Mengenai hijrah, Sultan Perak bertitah dalam pengertian yang mendalam ia merupakan asas bagi menjana semangat untuk sentiasa bersedia melakukan pengorbanan.

"Hijrah telah berjaya merubah situasi, daripada kemelaratan kepada kesenangan, daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada kekecohan kepada keamanan," titah Sultan Nazrin.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah 2016 kepada bekas pembantu mufti di Pejabat Mufti Perak Muhamed Abdullah dan Anugerah Khas Ar Ridzuan kepada bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang masing-masing menerima wang tunai RM10,000, medal, sebuah plak dan sijil.

Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Pengurusan Masjid Terbaik kepada Masjid Al-Islah Keledang Utama, Sungai Siput serta Anugerah Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik kepada Tanah Perkuburan Kariah Masjid Kampung Boyan, Taiping.

Pemenang menerima wang tunai RM3,000, sebuah plak dan sijil. - Bernama