KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca panas tahap dua (gelombang haba) di Padang Terap, Kedah.
MetMalaysia memaklumkan terdapat 12 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu (berjaga-jaga) melibatkan Perlis dan Kedah (Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu).
Advertisement
Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Timur Laut (Pulau Pinang), Hulu Perak (Perak) dan Rembau (Negeri Sembilan).
Menurut kenyataan itu, tahap gelombang haba ialah suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut dan bagi tahap berjaga-jaga pula, suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, orang ramai boleh merujuk https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/.
Sementara itu, MetMalaysia turut memaklumkan berlaku gempa bumi sederhana berukuran magnitud 5.0 melanda Barat Daya Sumatera, Indonesia pada 2.08 pagi ini.
Gempa bumi itu berpusat pada koordinat 7.8 darjah selatan dan 104.6 darjah timur, dengan kedalaman 121 kilometer (km).
Gempa bumi itu berada pada jarak 260km Barat Daya dari Cilegon,Indonesia dan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.
-- BERNAMA