Belum ada cadangan atau tawaran menarik dikemukakan pembida berpotensi dalam proses pengambilalihan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kadang-kala cadangan yang dikemukakan tidak menunjukkan hala tuju dan masa hadapan PLUS yang lebih baik.

“Kadang-kala cadangan daripada swasta itu tidak menarik dan tidak memberi gambaran yang baik akan masa depan PLUS.

“Sebab itu kita sedang mengkaji. Banyak cadangan kita akan kaji untuk melihat yang mana terbaik sama ada di miliki oleh kerajaan atau dimiliki oleh swasta, kita akan pilih.

“Ya, ada empat (pembida) tapi saya tak tahu lah, mungkin lebih daripada itu. Memang ada yang buat cadangan, tetapi belum dapat satu cadangan yang menarik,” katanya.

Untuk rekod, Khazanah memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS manakala bakinya dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beberapa syarikat telah menyatakan minat untuk membeli PLUS termasuk RRJ Capital, sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong serta tiga lagi pihak yang sudah mengemukakan tawaran rasmi iaitu Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd dan ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad.

BACA: Kerajaan terima empat tawaran ambil alih PLUS