IPOH: Insiden tahanan warga asing yang meloloskan diri di Depoh Sementara Imigiresen Sungai Bakap, Pulau Pinang seharusnya menjadi iktibar dan pengajaran kepada negeri lain untuk lebih berhati-hati dalam sudut keselamatan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan tidak mustahil kejadian seumpama itu berulang di negeri lain yang mempunyai depoh berkenaan, termasuk Perak.

Ia susulan Perak juga mempunyai sebuah Depoh Tahanan Imigresen di Langkap

"Walaupun itu (Depoh Tahanan Imigresen) bukan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri 'per se' tetapi ia terletak dalam negeri Perak.

"Sudah tentu saya harap kejadian yang berlaku di Pulau Pinang itu, kita ambil iktibar dan pihak yang bertanggungjawab di depoh tahanan di Langkap ini di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Saya harap mereka mengambil langkah-langkah perlu, sebab apa yang berlaku di Pulau Pinang itu tidak mustahil boleh berlaku di Langkap (depoh tahanan)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir di Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya Kerajaan Negeri Perak kepada Pasukan Badan Beruniform di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.



Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Dalam pada itu Saarani berharap pihak berkuasa yang berkenaan lebih berhati-hati dan mengambil pengajaran berhubung insiden tersebut.

"Orang dalam tahanan ini dia kreatif dan sentiasa cari jalan untuk lari keluar, dan kepada dia dapat lari itu merupakan satu kepuasan, satu kejayaan.

"Jadi sudah tentu saya yakin pihak berkuasa yang menjaga dan mengawasi depoh tahanan di Langkap mengambil iktibar yang berlaku di Pulau Pinang.

"Kita harus ingat mereka dalam tahanan sentiasa mencari ruang dan peluang bila mana kita cuai dan alpa, mereka perhati apa penguasa buat. Harapnya janganlah tahanan lolos keluar," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian seramai 528 tahanan depoh imigresen di Relau, Sungai Bakap meloloskan diri pagi tadi.

Media melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah berjaya menahan semula 362 daripada 528 tahanan berkenaan.

Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, kesemua tahanan berkenaan didapati memecahkan pintu blok dan besi penghadang sebelum melarikan diri.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dipetik sebagai berkata, setakat pukul 10 pagi tadi, seramai 362 berjaya ditahan semula dan baki tahanan masih diburu.