GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat menjangkakan lebih ramai pesakit akan pulih daripada wabak Ebola yang sedang melanda Republik Demokratik Congo (DRC) selepas mangsa pertama yang disahkan sembuh dibenarkan keluar dari pusat rawatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kami menjangkakan lebih ramai pesakit akan pulih,” kata Anais Legand daripada Pasukan Patogen Ancaman Tinggi WHO kepada pemberita di Geneva.
Pesakit yang dibenarkan keluar pada Khamis selepas menerima dua keputusan ujian negatif itu merupakan individu pertama yang dimasukkan ke pusat rawatan Ebola semasa wabak semasa dan berjaya pulih sepenuhnya, kata Legand.
“Kami boleh membantu komuniti mengenal pasti simptom lebih awal supaya diagnosis awal dapat dibuat dan mereka menerima tahap rawatan yang diperlukan,” katanya.
Pemulihan itu berlaku ketika pihak berkuasa kesihatan terus berdepan strain Ebola yang ketika ini belum mempunyai rawatan atau vaksin yang diluluskan.
Legand berkata ,wabak terdahulu yang disebabkan strain Bundibugyo mencatat kadar kematian antara 30 hingga 50 peratus, manakala wabak semasa dilihat menunjukkan kadar kematian lebih rendah.
Menurut data WHO, kadar kematian kes kini kira-kira 24.6 peratus bagi kes disahkan dan antara 22 hingga 25 peratus bagi kes disyaki.
Sehingga Khamis, pihak berkuasa kesihatan Congo melaporkan 125 kes disahkan termasuk 17 kematian di wilayah Ituri, Kivu Utara dan Kivu Selatan.
Sebanyak 906 lagi kes disyaki termasuk 223 kematian masih dalam siasatan.
Selain itu, 16 kes disahkan turut dilaporkan dalam kalangan petugas kesihatan.
Wabak itu turut merebak ke negara jiran, Uganda, yang melaporkan tujuh kes disahkan termasuk satu kematian setakat Rabu. WHO berkata semua kes di Uganda mempunyai kaitan epidemiologi dan tiada penularan dalam komuniti direkodkan setakat ini.
Legand berkata, WHO bersama pakar bebas sedang menilai beberapa calon rawatan dan vaksin bagi strain Bundibugyo.
Antara rawatan yang sedang dipertimbangkan ialah terapi antibodi monoklon dan ubat antivirus remdesivir termasuk kemungkinan terapi gabungan.
Bagi pencegahan, pakar mengenal pasti vaksin dos tunggal rVSV Bundibugyo yang sedang dibangunkan oleh International AIDS Vaccine Initiative sebagai vaksin paling berpotensi, menurut WHO.
Satu lagi vaksin, ChAdOx1 Bundibugyo yang dibangunkan oleh Universiti Oxford dan Institut Serum India , dijangka tersedia untuk penilaian keberkesanan dalam tempoh beberapa bulan.
WHO turut memaklumkan, vaksin Ebola berlesen Ervebo tidak sepatutnya digunakan di luar persekitaran penyelidikan kerana bukti keberkesanannya terhadap strain Bundibugyo masih terhad.
-- BERNAMA-ANADOLU