Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dijangka menjadi saksi pertama untuk siasatan dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didedahkan baru-baru ini.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ambrin akan dipanggil ke ibu pejabat agensi itu pada pukul 3 petang, Isnin.

"Ambrin dijangka hadir pada pukul 3 petang untuk menjadi saksi, setakat ini hanya itu sahaja yang disahkan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, sumber SPRM memaklumkan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim juga akan dipanggil petang ini untuk memberikan kenyataan susulan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki memberitahu, pihaknya akan mula menyiasat dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang didedahkan baru-baru ini.

Azam turut menyatakan akan memanggil beberapa saksi bermula hari ini.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad sebelum ini dilaporkan mengesahkan laporan akhir pengauditan 1MDB telah dipinda atas arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Madinah dalam satu kenyataan memberitahu, laporan itu ada menyebut kehadiran Low Taek Jho atau Jho Low dalam salah satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, namun Najib menerusi Ketua Setiausaha Sulit beliau, Tan Sri Shukry Salleh mengarahkan perenggan itu digugurkan atas alasan ia sensitif dan bagi mengelak fakta diputarbelitkan pihak pembangkang.

Jelas Madinah, berdasarkan kronologi yang disediakan oleh pasukan audit 1MDB, Shukry pada 20 Februari 2016 telah meminta pasukan audit 1MDB untuk kemukakan laporan akhir pengauditan untuk dibincangkan bersama Najib.

Mesyuarat bersama Najib pada 22 Februari 2016 di pejabat Perdana Menteri dengan kehadiran bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Shukry dan Ambrin telah mengarahkan pengguguran perenggan yang mengandungi dua versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 dan mengarahkan siasatan dijalankan oleh pihak penguat kuasa.

Sebuah akhbar pada Sabtu melaporkan bahawa Najib telah mengarahkan laporan audit 1MBD yang disediakan Ambrin dipinda.

Berita tersebut yang memetik sumber turut memberitahu, laporan itu mendedahkan Najib mengetahui salah urus tadbir dalam 1MDB yang bersangkut paut dengan campur tangan beliau dari segi pengurusan kewangan 1MDB.