BATU GAJAH: Sebuah ambulans milik syarikat swasta yang membawa pesakit, terbalik selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu jururawat di persimpangan lampu isyarat Kampung Pisang dekat sini pada Khamis.

Kejadian sekitar jam 1.35 petang itu mengakibatkan pesakit yang merupakan seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima sebuah sekolah di sini mengalami kecederaan di bahagian pinggul kiri.

Kemalangan turut mengakibatkan pemandu ambulans berusia 28 tahun cedera di bahu kanan, penolong pegawai perubatan berusia 30 tahun lebam di muka dan bahu serta pembantu perubatan wanita berusia 39 tahun luka di bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, siasatan awal mendapati, ambulans berkenaan dalam perjalanan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Indera Wangsa Ahmad menghala ke Hospital Batu Gajah.

Menurutnya, tiba di tempat kejadian, ambulans terbabit telah dilanggar di bahagian tengah sebelah kiri oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios dari arah Seri Iskandar yang tidak memberikan laluan.

"Akibat pelanggaran itu, pemandu dan tiga penumpang ambulans termasuk seorang pesakit telah mengalami kecederaan.

"Pemandu Toyota Vios wanita berusia 46 tahun yang bekerja sebagai jururawat dan seorang lelaki berusia 21 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Bagaimanapun, penumpang hadapan kereta iaitu wanita warga emas berusia 77 tahun mengalami luka di bahagian pipi, mulut dan kaki kanan," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pesakit ambulans dan warga emas berkenaan telah dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan lanjut.

Katanya, kenderaan terlibat kemalangan telah ditahan untuk pemeriksaan Puspakom.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - Sinar Harian