MALAYSIA
Amerika Syarikat sifatkan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia penting untuk keamanan dan kemajuan serantau

Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan berkata, Malaysia ternyata komited terhadap kejayaan ASEAN dan berusaha sepanjang tahun ini sebagai Pengerusi. - Bernama
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) menyifatkan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini dan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober sebagai peluang penting untuk memperkukuh penglibatan dengan blok serantau itu serta memajukan keamanan dan kemakmuran di rantau ini.
Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan berkata Washington menghargai peranan kepimpinan Malaysia dan usaha berterusan negara ini dalam persiapan untuk sidang kemuncak peringkat tinggi itu.
"Malaysia ternyata komited terhadap kejayaan ASEAN dan berusaha sepanjang tahun ini sebagai Pengerusi," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat berkata Presiden AS Donald Trump, Presiden China Xi Jinping, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa antara pemimpin dunia yang dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Malaysia.Kagan berkata mesyuarat pada Oktober itu akan menjadi platform penting bagi AS untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan ASEAN dan Malaysia.
Beliau merujuk kepada beberapa lawatan dan penglibatan peringkat tinggi baru-baru ini sebagai bukti pengiktirafan Washington terhadap kepentingan strategik Asia Tenggara.
Antaranya termasuk penyertaan Setiausaha Negara Marco Rubio pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57 dan mesyuarat berkaitan, lawatan Panglima Pemerintah Indo-Pasifik AS Laksamana Samuel J. Paparo ke Malaysia serta pertemuan Setiausaha Pertahanan AS dengan Perdana Menteri Anwar di Singapura.
Mengulas mengenai situasi di Myanmar, Kagan berkata AS mengiktiraf peranan utama ASEAN dalam memacu Konsensus Lima Perkara (5PC) dan memudahkan proses damai di negara itu.
Beliau berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN boleh menyumbang secara signifikan terhadap proses itu, termasuk usaha mengurangkan penderitaan orang awam dan meningkatkan akses bantuan kemanusiaan ke Myanmar.
"Kami mengiktiraf bahawa Malaysia dan ASEAN memimpin usaha ini dan kami percaya memang tepat untuk Malaysia melakukannya.
"Kami bersedia memberikan bantuan dan sokongan jika diperlukan, setakat yang mampu kami lakukan. Tetapi pada asasnya, ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan Malaysia," katanya.
Bernama juga pada Jumaat melaporkan bahawa Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai pasukan ASEAN yang turut disertai rakan sejawatnya dari Thailand, Filipina dan Indonesia bagi menilai situasi di Myanmar pada 19 Sept.
Mengenai penubuhan ASEAN yang disambut pada 8 Ogos, Kagan berkata selama beberapa dekad blok itu masih berpegang pada matlamat asal untuk mempromosikan keamanan dan kestabilan di waktu yang tidak menentu.
"ASEAN dibentuk pada waktu yang sangat mencabar di rantau ini, dan walaupun ia telah berkembang, ia terus didorong oleh hasrat yang sama.
"Kami mengiktiraf bahawa ASEAN telah berjaya dengan sangat baik. Kami mahu melihat ASEAN terus bergerak ke hadapan," katanya.
Beliau menambah, AS telah menjadi penyokong kuat ASEAN sejak hubungan rasmi dimeterai pada 1977.
Hubungan itu dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada 2015 dan seterusnya dipertingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2022.
Sementara itu, Kagan yang mula berkhidmat di Malaysia sejak akhir 2023 berkata beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Duta Besar AS ke Malaysia sehingga pengganti beliau disahkan oleh Senat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami